
Kami baru sahaja melaporkan bahawa pra-tempahan telah dibuka untuk konsol permainan mudah-alih ASUS ROG Xbox Ally X20 edisi ulang-tahun ke-20 untuk pasaran Amerika Syarikat.
Perubahan paling besar pada model ini ialah penggunaan skrin 7.4″ OLED menggantikan skrin 7″ LCD yang digunakan pada dua model terdahulu. Hasilnya ialah skrin lebih terang, melepasi piawaian DisplayHDR TrueBlack 1000 dan menyokong Dolby Vision.

Selain itu tubuh konsol kini sedikit lutsinar membolehkan komponen dalaman dilihat. Perubahan besar lain yang dilakukan ialah dua tombol kawalan analog kini dilengkapi sensor TMR (Tunnel Magnetoresistance) yang menyelesaikan isu stick drift dengan kubah butang muka juga direka semula untuk lebih selesa dipegang. Butang D-Pad kini boleh diubah ke mod 4 arah atau 8 arah dengan memutarkannya 90 darjah. Akhir sekali butang Xbox kini menyala dengan lampu hijau.

Dalam pada itu, ASUS turut memperkenalkan kaca mata ASUS ROG XReal R1 Edition 20 juga telah diperkenalkan, iaitu sebuah kaca mata yang boleh memaparkan skrin maya sebesar 171” 240Hz menggunakan micro‑OLED dengan masa tindak balas 0.01ms.
Di Amerika Syarikat, pra-tempahan untuk konsol ini telahpun dibuka, dengan tarikh jualan terbukanya ditetapkan pada 15 Oktober ini. ASUS Malaysia juga telah mengesahkan bahawa kedua-dua konsol ASUS ROG Xbox Ally X20 dan berkas edisi khasnya akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi, dengan tanda harga yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Sebelum ini kami telah melaporkan bahawa kacamata ASUS ROG Xreal R1 akan memasuki pasaran tempatan pada harga RM4700, jadi kita juga boleh sedikit sebanyak mengagak harga berkas konsol dan kaca mata gaming ini apabila ia tiba kelak.




