ROG Melancarkan Beg Galas Untuk Komputer Riba 16″ Dan Kesemua Kelengkapan Gaming

TechnologyDigital
14 Feb 2024 • 1:58 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kita sedang hidup dalam zaman kegemilangan permainan video. Ia boleh diakses menerusi telefon pintar, konsol mudah alih, konsol TV, komputer riba, dan desktop. Tepuk dada tanya selera di mana anda ingin menikmati permainan video kegemaran. Adalah menjadi kebiasaan untuk memiliki lebih daripada satu peranti gaming. Bagi golongan ini, ROG Ranger Gaming Backpack 16 telah dilancarkan oleh ASUS.

image is not available

ROG Ranger Gaming Backpack 16 mempunyai ruang simpanan dengan isipadu 18L mencukupi untuk sebuah laptop gaming bersaiz 16″, sumber kuasa, ROG Ally, tablet, alat kawalan permainan, fon kepala, tetikus, papan kekunci, dan pelbagai lagi. Terdapat juga poket sisi untuk botol air dan poket tersembunyi untuk telefon pintar serta kunci.

image is not available

Beg mempunyai kerangka keras untuk memastikan kandungan dalam beg tidak akan terhimpit serta permukaan luaran yang kalis air. Bagi memudahkan ia digunakan ketika berkelana, ia turut mempunyai bahagian yang boleh disangkut pada beg bagasi beroda. Pada waktu ini harga jualan belum diumumkan.