Rogol anak tiri, lelaki dipenjara 30 tahun, 18 sebatan

14 Apr 2026 • 4:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rogol anak tiri, lelaki dipenjara 30 tahun, 18 sebatan
Seorang bapa tiri di penjara selama 30 tahun dan disebat 18 kali oleh Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan merogol anak perempuan tiri bawah umur sejak tahun lepas. Foto Bernama

PASIR MAS - Seorang lelaki dihukum penjara 30 tahun dengan 18 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana merogol anak perempuan tirinya yang berusia 13 tahun.

Hakim Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman ke atas lelaki berusia 53 tahun itu selepas dia mengaku bersalah atas enam pertuduhan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan bagi setiap dua pertuduhan dan memerintahkan semua hukuman itu berjalan berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 6 April 2026.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa melakukan persetubuhan dengan anak tirinya itu di sebuah rumah di Tanah Merah, antara 12 tengah malam sehingga 4 pagi, pada 31 Mac, 12 November dan 5 Disember 2025.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, dia didakwa melakukan persetubuhan dengan mangsa sama di lokasi serupa pada 1 pagi 27, 28 dan 30 Mac 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na'ilah Harizan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan berat kepada tertuduh kerana kesalahan itu meninggalkan kesan trauma kepada mangsa. - Bernama