Rohas Tecnic raih kontrak RM123 juta kerja pembinaan Fasa 2 LRA Sungai Rasau
herman
27/08/2024 - 16:32
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Rohas Tecnic Berhad mengumumkan telah menerima surat anugerah daripada Gamuda Bhd untuk kerja-kerja berkaitan Fasa 2 Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau, Selangor bernilai RM123 juta.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Rohas berkata, kontrak tersebut diperoleh melalui Konsortium Rohas-Euco Industries Bhd - One Ocean Environment Sdn Bhd.
Konsortium ini terdiri daripada Rohas-Euco Industries Bhd, anak syarikat milik penuh Rohas, dan One Ocean Environment Sdn Bhd, yang telah menerima surat anugerah daripada Gamuda M&E Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Gamuda.
Menurut Rohas, kontrak tersebut melibatkan penyediaan semakan reka bentuk, bekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pentauliahan serta penyelenggaraan pakej 2 di loji rawatan air Sungai Rasau.
“Projek Pakej 2 Sungai Rasau dijangka siap menjelang suku keempat 2025,” katanya hari ini.

Menurut Rohas, sekiranya tiada sebarang keadaan yang tidak dijangka, projek Pakej 2 Sungai Rasau dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2024 dan 2025.
"Kesan kewangan positif dijangka mempengaruhi pendapatan setiap saham dan aset bersih setiap saham kumpulan Rohas,” ujarnya yang turut memaklumkan pemilik Projek Pakej 2 Sg. Rasau adalah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
Kata Kumpulan itu, projek Pakej 2 Sg. Rasau tertakluk kepada risiko pembinaan biasa seperti turun naik harga bahan.
"Walau bagaimanapun, dengan pengalaman dan kepakaran gabungan Rohas-Euco Industries dan One Ocean Environment dalam projek pembinaan serupa, risiko-risiko ini dapat dikurangkan," katanya.- DagangNews.com


