Zon percikan ceria lengkapi staycation santai di Raia Beach Resort Port Dickson

Travel
12 May 2026 • 12:24 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Zon percikan ceria lengkapi staycation santai di Raia Beach Resort Port Dickson

PORT Dickson sejak sekian lama menjadi antara destinasi percutian hujung minggu yang tidak pernah kehilangan tarikan.

Hanya beberapa jam perjalanan dari Lembah Klang, kawasan Teluk Kemang khususnya terus menjadi pilihan ramai kerana gabungan pantai yang panjang, suasana santai dan mudah diakses.

Di tengah-tengah landskap pelancongan ini, hadir satu pilihan penginapan baharu yang semakin mencuri perhatian iaitu Raia Beach Resort Port Dickson, sebuah resort tepi pantai yang mengangkat konsep staycation lebih relaks, moden dan mesra keluarga.

Selepas melalui proses naik taraf hampir setahun, resort itu kini tampil dengan wajah yang lebih segar dan selesa, tanpa meninggalkan elemen semula jadi pantai yang menjadi daya tarik utamanya.

Image from: Zon percikan ceria lengkapi staycation santai di Raia Beach Resort Port Dickson

Pembukaan lokasi tersebut sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran syarikat dalam landskap hospitaliti di Malaysia.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Urusharta Jamaah Sdn Bhd, Datuk Mohd Shukri Hussin, bersama Pengerusi UJ Hotels & Resorts Management Services Sdn Bhd, Datuk Othman Semail serta wakil daripada Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad selaku pemilik hartanah.

Lokasinya yang strategik di Teluk Kemang menjadikannya antara pilihan mudah bagi mereka yang mahu 'lari seketika' daripada rutin harian tanpa perlu ke destinasi terlalu jauh.

Apa yang membuatkan resort ini menarik bukan hanya pada lokasi, tetapi juga pengalaman yang ditawarkan kepada pengunjung.

Antara tarikan utama ialah zon percikan ceria iaitu kolam renang yang telah dinaik taraf dengan elemen taman air dan gelongsor yang lebih menyeronokkan.

Ruang tersebut bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, malah turut menjadi tempat santai untuk orang dewasa yang mahu menikmati suasana riang dalam air.

Dalam masa yang sama, aspek privasi turut diberi perhatian.

Dengan konsep bangunan rendah yang dikelilingi kehijauan tropika, suasana di sini terasa lebih tenang dan tidak sesak.

Ia memberi ruang kepada pengunjung untuk benar-benar berehat dalam persekitaran yang lebih damai, jauh daripada kebisingan bandar.

Dari segi penginapan, resort ini menawarkan 62 bilik eksklusif yang direka dengan fokus kepada keselesaan.

Ruang bilik yang sederhana tetapi selesa menjadikannya sesuai untuk pelbagai jenis pengunjung, sama ada pasangan yang mahu percutian ringkas, keluarga kecil, mahupun kumpulan yang datang untuk berehat bersama.

Image from: Zon percikan ceria lengkapi staycation santai di Raia Beach Resort Port Dickson

Mesra keluarga

Salah satu kelebihan utama yang sukar dipisahkan daripada pengalaman di sini ialah akses terus ke pantai.

Pengunjung boleh melangkah keluar dari kawasan resort dan terus menikmati pasir pantai Teluk Kemang.

Aktiviti santai seperti berjalan di pesisir, bermain pasir bersama anak-anak atau sekadar duduk menikmati bayu laut petang menjadikan pengalaman di sini lebih natural dan tidak terburu-buru.

Selain itu, ruang rekreasi terbuka yang disediakan turut memberi pilihan kepada tetamu untuk melakukan aktiviti ringan seperti perhimpunan kecil atau sekadar bersantai di kawasan hijau sekitar resort. Ia menjadikan keseluruhan suasana lebih fleksibel dan mesra keluarga.

Dalam perkembangan jenama Raia Hotel, kehadiran resort ini melengkapkan rangkaian penginapan yang telah bertapak di beberapa lokasi utama seluruh negara seperti Alor Setar, Bayan Lepas, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Image from: Zon percikan ceria lengkapi staycation santai di Raia Beach Resort Port Dickson

Setiap lokasi membawa konsep tersendiri, namun di Port Dickson membuka ruang baharu kepada pengalaman percutian berkonsepkan resort tepi pantai yang lebih santai.

Dengan gabungan elemen moden dan suasana semula jadi, destinasi ini sesuai untuk pilihan staycation terutama bagi sekeluarga yang mencari rehat singkat tanpa perlu meninggalkan keselesaan.