
SHAH ALAM – Isu kebanjiran etnik Rohingya di Selangor perlu ditangani segera sebelum jumlah mereka terus meningkat sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.
Gesaan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz yang mahu tindakan lebih tegas diambil terhadap warga berkenaan yang semakin berani menjalankan aktiviti perniagaan secara terbuka.
“Kalau lihat di kawasan DUN Dusun Tua, masih ramai lagi warga Rohingya yang merayau. Malah ada antara mereka yang berani berniaga dalam kedai atau di tepi jalan.
“Dari gaya mereka ini, mereka nampak macam tidak takut untuk ditahan pihak berkuasa. Kita tidak boleh biarkan situasi berterusan,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), polis, Jabatan Imigresen (JIM) dan agensi berkaitan perlu memperhebat operasi pemeriksaan serta mengambil tindakan terhadap warga Rohingya yang tidak mempunyai dokumen yang sah atau meragukan.
Katanya, beliau sendiri telah membuat aduan berulang kali namun tiada tindakan tegas diambil.
Sebelum ini, media melaporkan dianggarkan lebih 9,000 etnik Rohingya dikesan di daerah Hulu Langat dengan kebanyakan mereka dilihat berada di kawasan bandar berbanding luar bandar. – KOSMO! ONLINE
The post Rohingya merayau, berniaga tanpa gentar appeared first on Kosmo Digital.


