
SEMPORNA: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan menjual rokok seludup serta menyimpan dan menjual semula minyak masak bersubsidi.
Wanita berkenaan ditahan selepas serbuan dijalankan oleh Pasukan Taktikal Batalion 22 PGA bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna di sebuah rumah di Kampung Simunul, di sini, pada Khamis.
Timbalan Komander PGA Sabah ACP Ahmad Radzi berkata bertindak atas maklumat risikan, pasukan itu menyerbu rumah tersebut dan menahan seorang wanita.
“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menemui sejumlah besar rokok pelbagai jenama serta beberapa kotak minyak masak dalam bungkusan. Pasukan turut menemui sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipercayai digunakan untuk mengangkut barangan rampasan tersebut,” katanya.
Menurut Ahmad Radzi, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM173,865. Beliau berkata suspek bersama barangan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu, Ahmad Radzi berkata kejayaan operasi itu adalah hasil komitmen berterusan PGA Kunak dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barangan bersubsidi.


