Roland Berger, The eCEOs jalin kerjasama perkasa bidang kecerdasan buatan di Malaysia
zulfadli
15/03/2024 - 17:31
KUALA LUMPUR 15 Mac - Roland Berger dan The eCEOs Sdn Bhd memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bertujuan untuk memperkasakan bidang kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.
Kedua-dua organisasi itu memaklumkan, kerjasama strategik itu memfokuskan kepada inovasi AI, memformulasi strategi dan memperkukuh pelaksanaan projek yang diperlukan pelanggan di seluruh Malaysia.
Katanya, dengan memanfaatkan kekuatan Roland Berger dan The eCEOs, entiti itu berkongsi objektif yang sama iaitu untuk memacu kemajuan teknologi dan memupuk inovasi dalam bidang AI.
"Roland Berger dan The eCEOs menyatakan komitmen mereka terhadap kerjasama ini dengan menekankan potensi untuk membawa perubahan transformatif dalam industri AI. Kenyataan dari kedua-dua organisasi ini menekankan komitmen mereka yang teguh terhadap inovasi, kepuasan pelanggan, dan penerokaan baharu di dalam bidang AI.
"Roland Berger adalah syarikat antarabangsa dalam memacu transformasi industri, inovasi perniagaan serta meningkatkan prestasi perniagaan untuk pelbagai industri, membawa kepakaran mereka kepada kerjasama ini, yang ditekankan oleh rekod kejayaan dan inovasinya.
"Sehubungan itu, The eCEOs, adalah kuasa baharu dalam teknologi dan berada di barisan hadapan dalam inovasi AI, sejajar dengan visi Roland Berger untuk kemajuan masa hadapan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, kerjasama antara Roland Berger dan The eCEOs mewakili tonggak penting dalam bidang AI Malaysia.

Tambahnya, kedua-duanya bersedia untuk memacu pembangunan dan pelaksanaan rumusan AI, memberikan nilai tambah kepada pelanggan dan menetapkan piawaian baru untuk inovasi teknologi AI di rantau ini. - DagangNews.com



