Rombakan Kabinet Sabah, Bung Moktar Digugurkan

LocalPolitics
11 Jan 2023 • 11:48 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Barisan Kabinet baharu kerajaan negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang diumumkan hari ini menyaksikan pengguguran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin. 

Bung Moktar yang sebelum ini menyandang portfolio Timbalan Ketua Menteri l dan Menteri Kerja Raya baru-baru ini telah mengumumkan penarikan semula sokongan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Dalam senarai Kabinet negeri yang dikeluarkan hari ini, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri l dan kekal sebagai Menteri Pertanian dan Perikanan. 

Sementara itu, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri lll, dilantik Timbalan Ketua Menteri ll dan memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan. 

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri lll dan memegang portfolio Menteri Kerja Raya, yang dahulunya digalas oleh Bung Moktar. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun yang sebelum ini Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Menteri Kewangan ll, dilantik sebagai Menteri Kewangan. 

Dalam pada itu, ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim kekal sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, begitu juga ADUN Sook, Datuk Ellron Angin yang terus memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan. 

ADUN Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif yang sebelum ini Menteri Tugas-Tugas Khas dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. 

ADUN Sukut, Datuk James Ratib dari Barisan Nasional (BN) pula dilantik sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian.     

Apa yang menarik, barisan Kabinet baharu negeri turut disertai ADUN Pakatan Harapan iaitu ADUN Api-api, Datuk Christina Liew sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar sementara ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe diumumkan sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian. 

Berikut ialah senarai penuh Kabinet Sabah:

Ketua Menteri - Datuk Seri Hajiji Noor

Timbalan Ketua Menteri l merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan - Datuk Seri Jeffrey G Kitingan

Timbalan Ketua Menteri ll merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan - Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam

Timbalan Ketua Menteri lll merangkap Menteri Kerja Raya - Datuk Shahelmey Yahya

Menteri Kewangan - Datuk Seri Masidi Manjun 

Menteri Pembangunan Luar Bandar - Datuk Jahid Jahim 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi - Datuk Mohd Arifin Mohd Arif 

Menteri Belia dan Sukan - Datuk Ellron Angin

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat - Datuk James Ratib 

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar - Datuk Christina Liew

Menteri Pembangunan Perindustrian - Phoong Jin Zhe - Getaran, 11 Januari 2023