
KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata beliau memutuskan untuk merombak Kabinet Negeri dan memasukkan Adun daripada Pakatan Harapan (PH) selain Umno/Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata pasukan yang kukuh dan pentadbiran inklusif diperlukan untuk menyatukan Kerajaan Negeri sekarang.
Dalam pada itu, Hajiji berkata rombakan Kabinet perlu dilakukan bagi menyatukan semula dan membentuk barisan Kabinet kerajaan negeri yang kukuh.
“Adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah kepimpinan saya berfungsi sebagai sebuah pasukan padu yang berkongsi aspirasi sama yang dibentuk melalui semangat saling mempercayai dan menghormati,” katanya dalam kenyataan pada 11 Jan.
Hajiji berkata kerajaan negeri mahu pemimpin yang memiliki iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat.
“Kestabilan politik adalah penting.
“Dengan adanya satu pasukan yang kukuh, kita akan memastikan pelaburan dinamik dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah.
“Kita mesti maju ke hadapan untuk mendorong momentum pembangunan kita dan memenuhi janji pilihan raya kita,” katanya.
Rombakan itu menyaksikan bekas Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Jafry Arifin dan Datuk Yakub Khan digugurkan kerana peranan mereka dalam cubaan untuk menggulingkan Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah, bersama Parti Warisan Sabah minggu lalu. Semuanya anggota Umno-Barisan Nasional Sabah.
Bung digantikan oleh Datuk Ir Shahelmey Yahya sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya.
Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dinaikkan pangkat kepada Timbalan Ketua Menteri I tetapi mengekalkan portfolionya sebagai Menteri Pertanian dan Perikanan, manakala Timbalan Ketua Menteri III Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Ketua Menteri II dan portfolionya ditukar kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, daripada Menteri Pembangunan Perindustrian sebelum ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan sebelum ini Datuk Seri Masidi Manjun kini menjadi Menteri Kewangan Negeri, manakala Ginger Phoong Jin Zhe dilantik sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian yang baharu.
Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif kini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, mengambil alih jawatan Yakub, manakala Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasannya sebelum ini tidak disenaraikan dalam Kabinet Negeri baharu.
Selain Phoong, seorang lagi daripada Pakatan Harapan (PH) Sabah ialah Datuk Christina Liew yang dilantik semula sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, menggantikan Jafry.
Phoong, Liew dan Datuk James Ratib, yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat baharu menggantikan Shahelmey, adalah muka baharu dalam Kabinet Negeri.
Kesemuanya mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu, pada 11 Jan.
Datuk Jahid Jahim dan Datuk Ellron Angin mengekalkan jawatan masing-masing sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar serta Menteri Belia dan Sukan.
Rombakan Kabinet itu juga menyaksikan Hajiji tidak memegang portfolio selepas melepaskan jawatan Menteri Kewangan kepada Masidi.
Daripada 11 anggota Kabinet Sabah, terdapat tujuh daripada GRS, dua daripada BN dan dua lagi daripada PH.
Pada 8 Jan lepas, Hajiji mendakwa beliau mendapat sokongan 44 Adun Sabah merangkumi 29 daripada GRS, PH (7), BN (5), PAS (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1) dan Bebas (1).
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


