
LONDON: Atletico Madrid dilaporkan masih berada di kedudukan paling hadapan untuk mendapatkan pertahanan Tottenham Hotspur, Cristian Romero meskipun Arsenal turut menunjukkan minat terhadap pemain antarabangsa Argentina itu.
Menurut laporan media Britain, Arsenal difahamkan telah menghubungi ejen Romero bagi mendapatkan gambaran mengenai syarat yang diperlukan sekiranya perpindahan itu dapat direalisasikan.
Bagaimanapun, Tottenham dikatakan tidak mengetahui mengenai minat Arsenal dan tidak bercadang untuk melepaskan kapten pasukan mereka yang berusia 28 tahun itu kepada seteru tradisi dari utara London.
Pada masa sama, Atletico kembali menghidupkan usaha mendapatkan Romero selepas Inter Milan turut memasuki saingan bagi mendapatkan khidmat pertahanan tengah berkenaan.
Inter dilaporkan sudah mencapai persetujuan dengan Tottenham mengenai nilai perpindahan sebanyak 34 juta pound (RM187 juta), namun rundingan masih belum dimuktamadkan berikutan kedua-dua pihak belum mencapai kata sepakat mengenai terma peribadi pemain.
Sementara itu, Atletico dikatakan sedang berusaha menyelesaikan beberapa urusan perpindahan keluar pemain terlebih dahulu sebelum mengemukakan tawaran rasmi kepada Tottenham bagi mendapatkan tandatangan Romero. – AGENSI
The post Romero kekal jadi pilihan utama Atletico appeared first on Utusan Malaysia.



