Rompak bersenjata: Warga Indonesia dipenjara 12 tahun

10 Nov 2022 • 4:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Seorang warga Indonesia berumur 31 tahun dipenjara 12 tahun dan dikenakan 11 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu kerana merompak seorang warga emas menggunakan parang.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu kepada Arip Tarip yang mengaku bersalah kepada tuduhan terhadapnya.

Arip telah merompak Jong Fook Onn, 65, di hadapan sebuah kedai kopi di Taman Hill Top, dekat sini, pada jam 5.24 pagi 2 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan selain hukuman berjalan serentak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam, memandangkan tertuduh melakukan jenayah itu menggunakan senjata bahaya iaitu parang.

Mahkamah diberitahu bahawa semasa mangsa sedang mengemas kedai makan, seorang lelaki tidak dikenali mendekatinya dan mengacukan parang ke arah kepala dan perutnya.

Mangsa yang bimbangkan keselamatannya, menyerahkan dompet miliknya berisi MyKad, lesen memandu, kad bank dan wang tunai RM120 kepada lelaki itu yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Arip, yang melarikan diri.

Susulan, laporan polis, Arip ditangkap.

Tertuduh yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) turut dipenjara 13 bulan dan dikenakan lima sebatan kerana masuk ke negara ini tanpa dokumen.

Selepas menjalani hukuman penjaranya, Arip diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk pengusiran.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.