
Kota Kinabalu: Seorang warga Indonesia berusia 29 tahun meminta dibicarakan atas dua pertuduhan mengedar syabu dengan berat keseluruhan 4,590.6 gram.
Baharuddin Anwar membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Wong Siong Tung, kepada dua pertuduhan terhadapnya pada Selasa.
Bagi pertuduhan pertama, Baharuddin didakwa mengedar 420.5 gram syabu pada jam 6.45 petang 10 Mac tahun ini di sebuah unit Suria Shop Apartment di Jalan Penampang Lama.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar 4,170.1 gram dadah serupa pada jam 12.30 tengah hari pada hari yang sama di tempat letak kereta di Cybercity Fasa 1, Blok E Kepayan, Penampang.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman sama ada hukuman mati, atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 9 Dis untuk pengurusan kes dan 18 – 21 Apr tahun depan untuk perbicaraan pertuduhan pertama, manakala 16 -19 Mei tahun depan untuk pertuduhan kedua.
Semasa prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Siti Amirah Muhammad Ali memberitahu mahkamah bahawa setakat ini tiada arahan supaya kes itu dibicarakan bersama atau sebaliknya.
Peguam Nelson Anggang, yang mewakili Baharuddin, meminta untuk mempercepatkan perbicaraan kes memandangkan anak guamnya telah ditahan sejak Mac tahun ini.
Sementara menunggu tarikh itu, Baharuddin diperintah reman lanjut kerana pertuduhan terhadapnya tidak mempunyai peruntukan jaminan. Di mahkamah lain, seorang guru tuisyen wanita berusia 21 tahun mengaku tidak bersalah mengedar 1,707.24 gram ganja.
Tiong Wei Jing, yang dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Leonard David Shim, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Dia didakwa mengedar dadah itu pada pukul 7.30 malam 22 Nov 2021 di sebuah rumah di Jalan Kobusak, Taman Suria Kobusak, Penampang.
Mahkamah menetapkan 3 Nov tahun ini untuk pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ali @ Rocky Imran manakala Tiong diwakili peguam Zahir Shah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

