GENTING HIGHLANDS - Polis masih giat mengesan kumpulan perompak kedai emas di dalam pusat beli-belah di sini pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati tiga suspek dipercayai terlibat dalam kes berlaku kira-kira jam 11.40 pagi.
Menurutnya, suspek dipercayai bersenjatakan kapak dan besi kuku kambing.
"Susulan itu, polis telah melaksanakan Op Tutup bermula kira-kira jam 12 tengah hari.
"Siasatan lanjut oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sedang dijalankan termasuk mengenal pasti jumlah pekerja berada di dalam premis ketika rompakan berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan beberapa individu telah diambil keterangan untuk siasatan.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Sebelum itu, tular di media sosial memaparkan individu berpakaian hitam serta memakai topi sedang berlari di kompleks beli-belah terbabit.
Tinjauan Sinar Harian di ruangan komen turut memaparkan perkongsian orang awam tentang sekatan jalan raya yang dilaksanakan pihak polis.






