

Kerajaan Johor menegaskan bahawa pihaknya cukup komited untuk memastikan pemberian subsidi bahan api RON95 hanya boleh dinikmati rakyat Malaysia.
Perkara itu disuarakan oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini,.
Untuk itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan hak rakyat.


"Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak cuba mengambil kesempatan dengan menjual RON 95 kepada kenderaan asing," katanya menerusi hantaran dimuat naik di Facebook.
Hantaran itu dibuat selepas beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han, melakukan pemeriksaan di stesen minyak sekitar bandar Johor Bahru.
"Dalam operasi ini, kami meneliti pematuhan pengusaha stesen minyak terhadap larangan penjualan RON95 kepada warga asing, serta memastikan harga dikenakan tidak melebihi harga siling RM2.05 seliter.


"Had pengisian diesel sebanyak 20 liter bagi kenderaan asing dalam radius 50 kilometer (KM) daripada sempadan turut diperiksa, bagi memastikan peraturan itu dipatuhi," katanya.
Onn Hafiz berkata usaha itu akan diteruskan secara konsisten bagi melindungi hak rakyat dan memastikan subsidi sampai kepada mereka benar-benar layak sahaja.
Sehubungan itu, orang ramai diminta membuat aduan kepada KPDN jika berlaku penyelewengan atau pelanggaran peraturan berkaitan bahan api bersubsidi.



