RON95: Penggunaan Kad Kredit Asing Di Terminal Luar Akan Diharamkan - Menteri

LocalPolitics
9 Feb 2026 • 8:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji mekanisme untuk mengharamkan penggunaan kad kredit asing di terminal luar, khusus bagi pembelian petrol RON95 di negara ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, langkah itu bertujuan memastikan subsidi RON95 hanya dinikmati oleh rakyat yang layak.

Menurut beliau, KPDN juga akan merangka peraturan baharu yang melarang pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan dengan nombor pendaftaran asing.

“Melalui peraturan baharu ini, larangan dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pemilik atau pemandu kenderaan dengan nombor asing.

“Peraturan ini disasarkan untuk disiapkan dan berkuat kuasa mulai 1 April 2026,” katanya semasa menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Armizan, langkah berkenaan relevan dengan senario semasa, susulan desakan agar kerajaan menghukum pemandu luar yang membeli RON95, berbanding mengenakan tindakan ke atas pengusaha stesen minyak.

“Pemeriksaan di bawah Ops Samar juga akan dipertingkatkan di stesen minyak yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan utama bagi memerangi aktiviti penipuan,” katanya. 

Sementara itu beliau berkata, akses kepada 1,006 laman web telah disekat atas pelbagai kesalahan yang melibatkan promosi dan pengiklanan perniagaan transaksi dalam talian.

Menurutnya, tindakan itu adalah hasil kerjasama antara KPDN, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penyedia perkhidmatan internet (ISP) tahun lepas.

“Dalam tempoh yang sama, 695 iklan telah dipadamkan hasil kerjasama dengan penyedia platform e-dagang.

“Bersama-sama dengan pembaharuan undang-undang yang dicadangkan, kerajaan sedang mengambil pendekatan yang lebih bersepadu melalui kerjasama antara agensi dan memperkukuh peranan platform digital,” katanya. – Getaran, 9 Februari 2026