RON95: Subsidi pukal bebankan negara, tidak beri manfaat kepada majoriti rakyat - Menteri Kewangan II

25/08/2025 - 16:55
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 25 Ogos - Penyasaran subsidi RON95 perlu dilaksanakan kerana subsidi pukal hanya membebankan fiskal negara dan tidak memberi manfaat kepada majoriti rakyat dengan perincian lanjut bakal diumumkan kerajaan menjelang akhir September 2025, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, pada masa ini, kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dengan semua pihak berkepentingan dan ia termasuk mempelbagaikan mekanisme pelaksanaan meliputi pengujian penggunaan MyKad, e-dompet dan aplikasi syarikat minyak bagi memastikan ikhtiar ini dilaksanakan secara efisien tanpa merumitkan rakyat.
Katanya, mekanisme MyKad ini diaplikasi dengan memasukkan MyKad ke dalam terminal yang disediakan oleh kerajaan. Terminal ini akan berhubung dengan Pangkalan Data Berpusat Kerajaan bagi menentukan kelayakan dan kuota.
"Sekiranya layak rakyat dapat membeli minyak RON95 pada harga bersubsidi RM1.99/liter, sekiranya tidak pembayaran dibuat mengikut harga di pam, tanpa bersubsidi," katanya menjawab soalan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai permasalah subsidi RON95 di Dewan Rakyat, hari ini.
Amir Hamzah berkata, kriteria untuk subsidi bersasar RON95 belum dimuktamadkan dengan mengambil kira penggunaan oleh rakyat biasa jauh lebih meluas berbanding diesel, adalah wajar pendekatan lebih terangkum diambil dalam menentukan golongan yang layak untuk subsidi.
Beliau berkata, ramai menggunakan RON95 dalam perjalanan ulang alik ke tempat kerja dan kerajaan akan memastikan rakyat biasa tidak terbeban berikutan pelaksanaan penyasaran subsidi.
"Kerajaan juga sedang meneliti penggunaan kriteria yang telah digunakan bagi diesel bagi penetapan kriteria kelayakan subsidi bersasar RON95.
"Kelayakan subsidi tidak semestinya terhad kepada 85% daripada rakyat. Malah, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjelaskan kerajaan akan mengkaji pilihan sekurang-kurangnya 90% atau lebih tidak terkesan semasa pelaksanaan penyasaran subsidi RON95," katanya.
Menteri Kewangan II berkata, secara amnya, melalui penyasaran subsidi RON95, kerajaan akan mengurangkan ketirisan subsidi kepada golongan tidak layak seperti warga asing.
Beliau berkata, bagi mereka yang tidak layak, RON95 perlu dibeli pada harga tanpa subsidi, Perdana Menteri telah umumkan pada 23 Julai 2025 bahawa melalui penyasaran subsidi RON95, rakyat biasa akan menikmati harga minyak RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.
"Kerajaan sedang meneliti pendekatan terbaik dalam menentukan golongan yang wajar dikenakan harga di pam termasuk berdasarkan pendapatan tinggi atau pemilikan kereta mewah.
"Hasrat utama kekal untuk memastikan rakyat terbanyak yang memerlukan subsidi minyak terus mendapat manfaat bantuan daripada kerajaan," katanya.
Beliau berkata, berhubung soalan mengenai penentuan kelayakan penyasaran subsidi, ingin dimaklumkan pangkalan data PADU digunakan sebagai rujukan.
Katanya, PADU telah memusatkan data daripada pelbagai sumber agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Langkah ini bertujuan memastikan pendekatan yang diambil bersifat holistik dan bersasar, berdasarkan data sahih dan terkini bagi menjamin bantuan yang disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak," katanya. - DagangNews.com
featured standard
