
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan ke atas insiden serangan fizikal ke atas anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli akan dilakukan secara telus dan rapi.
Jaminan itu disuarakan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).
"Apa dibangkitkan (mengenai insiden serangan ke atas anak Rafizi)... dukacita kerana sudah ada budaya agak melampau daripada buli hingga kematian dan kini anak Ahli Parlimen Pandan (Rafizi).
"Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) dan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail) untuk teruskan siasatan telus dan rapi kerana budaya ini membimbangkan.
"Saya beri beri jaminan apa disebut Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bahawa mereka akan bertindak segera, pantas dan telus... bukan saja ambil tindakan tetapi juga menghentikan budaya jahat ini," katanya lapor BH.
Perkara itu disentuh Perdana Menteri sebelum menjawab soalan asal dikemukakan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang memintanya menyatakan apakah rasional pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset Petronas dan apakah strategi syarikat minyak negara itu menghadapi ketidaktentuan pasaran global melibatkan penjualan aset seperti di Kanada dan Brazil.
Semalam polis mengesahkan anak seorang bekas menteri diserang dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dilaporkan berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 petang semalam di kawasan mengambil dan menurun penumpang.
Katanya, mangsa ialah seorang kanak-kanak lelaki dan kini masih dalam pemeriksaan lanjut di sebuah hospital di Selangor.
Beliau berkata siasatan masih dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian.
Rafizi turut mengesahkan kejadian yang menimpa anaknya itu.
Beliau mendakwa serangan itu membabitkan dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal dan telah mengekori kereta isterinya. - 14 Ogos, 2025
The post Anak Rafizi diserang: PM beri jaminan siasatan telus, pantas appeared first on Scoop.
