RON97, RON95 tanpa subsidi turun 25 sen, Diesel Semenanjung turun 30 sen esok

LocalBusiness & Finance
24 Jun 2026 • 9:21 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

RON97, RON95 tanpa subsidi turun 25 sen, Diesel Semenanjung turun 30 sen esok

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Harga runcit diesel di Semenanjung turun 30 sen kepada RM4.07 seliter bagi tempoh 25 hingga 30 Jun 2026, manakala harga petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi, masing-masing turun 25 sen kepada RM4.10 dan RM3.47 seliter.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penurunan harga runcit petrol dan diesel itu selaras dengan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Bagi harga petroleum bersubsidi, harga RON95 di bawah program BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak, manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.

Sementara itu, harga di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) tidak berubah, iaitu RM2.15 seliter.

Menurut MOF, Kerajaan MADANI akan melaksanakan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) mulai 1 Julai ini bagi menyeragamkan pelaksanaan subsidi diesel di seluruh negara.

Melalui mekanisme ini, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan MyKad, manakala subsidi diesel bagi sektor strategik dan kritikal seperti nelayan, petani kecil, sektor komoditi dan pengangkutan awam darat terus dikekalkan.

“Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemat bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan bahawa penurunan ini mencerminkan perkembangan pasaran minyak global yang lebih menggalakkan, susulan penyederhanaan harga minyak mentah global dan perkembangan lebih positif dalam konflik di Asia Barat.

Namun begitu, kementerian berkenaan memaklumkan pasaran petroleum global masih berdepan dengan ketidaktentuan dalam jangka sederhana, termasuk risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad, pemulihan rantaian bekalan yang mengambil masa, serta tahap inventori dan kos logistik yang masih belum kembali sepenuhnya kepada paras prakonflik.

Dalam keadaan ini, MOF menjelaskan Kerajaan MADANI terus komited untuk melindungi rakyat daripada turun naik harga pasaran melalui subsidi bersasar, di samping memperkukuh keterjaminan bekalan jangka panjang melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa termasuk Turkmenistan dan Rusia.

MOF turut memaklumkan walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

“Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” menurut kenyataan itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved