
BELURAN: Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (gambar) yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Beluran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mewakili Perikatan Nasional (PN) mendakwa beliau bukan calon pembangkang.
Ronald mendakwa PN adalah sebahagian daripada kerajaan Sabah, malah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 2020, logo PN digunakan calon yang menganggotai Kabinet kerajaan Sabah pada hari ini.
“Semua komponen parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekarang kecuali PBS (Parti Bersatu Sabah) dan USNO (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) juga merupakan ahli PN.
“Jadi tidak berbangkit sama sekali soal bahawa saya kononnya calon pembangkang,” katanya semasa program santai di Kampung Muanad 3 di sini hari ini.
GRS dianggotai Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan USNO menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi mentadbir negeri itu, bagaimanapun Bersatu, STAR dan SAPP bersama PAS dan Gerakan merupakan parti komponen membentuk PN.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata PN merupakan platform tepat bagi terus mengangkat aspirasi masyarakat Beluran di peringkat nasional berdasarkan rekod pencapaian dan keupayaan pemimpin yang terpilih.
Ronald berkata beliau membawa agenda besar di Beluran iaitu pembangunan berterusan serta mengangkat masalah kekurangan infrastruktur di kawasan luar bandar itu.
Mengenai pertembungan lima penjuru di Parlimen Beluran pada PRU15 ini, Ronald menyifatkan ia adalah satu persaingan mesra dan rakyat di Sabah berpengalaman melalui pertembungan sebegini pada PRN lepas yang perlu diterima secara matang oleh semua pihak.
Pada PRU15 ini Ronald berdepan Benedict Asmat daripada BN, Rowiena Rasid (Warisan), Hausing Samsudin @ Sudin (Pejuang) dan Felix Joseph Saang daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mewakili Pakatan Harapan.-Bernama
