
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang sepatutnya berundur atas kegagalannya mengetuai Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah, hingga menyaksikan pencapaian buruk calon-calon Bersatu Sabah pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kenyataan Ronald supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Presiden Bersatu merupakan sikap terdesak susulan tindakan yang mula diambil oleh Lembaga Disipilin parti terhadap mereka yang mencabar institusi parti dengan melanggar pelbagai peruntukan Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Bersatu.
“Ronald gagal membentangkan perancangan strategik dan memulakan gerak kerja PRU lebih awal, malah sehingga kini masih belum mengemukakan sebarang laporan pasca pilihan raya (post-mortem) secara bertulis.
“Lebih memburukkan keadaan, Setiausaha BPN Sabah, Yunus Nurdin, yang merupakan lantikan Ronald, bersama beberapa pemimpin Bersatu Sabah cuba mengalihkan kesalahan tersebut kepada Presiden parti.
“Tuduhan ini adalah tidak berasas kerana sejak awal lagi, autonomi dan autoriti penuh untuk mempersiapkan jentera Sabah telah diberikan di bawah Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah, Datuk Seri Hamzah Zainudin, serta Ronald sendiri selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sabah, tanpa sebarang campur tangan daripada Presiden parti,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ronald dalam kenyataannya hari ini berkata sudah sampai masanya Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan untuk berundur daripada jawatan Presiden Bersatu.
Menurut Ronald, ini kerana Muhyiddin jelas gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan, sehingga ia dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.

Dalam pada itu, Tun Faisal menepis dakwaan bahawa tindakan Lembaga Disiplin merupakan penyalahgunaan prosedur bagi membungkam suara pimpinan utama parti.
Sebaliknya, kata Tun Faisal, ramai berpendapat tindakan Lembaga Disiplin sepatutnya telah lama diambil terhadap individu-individu yang secara berterusan dan berulang kali melanggar perlembagaan, menentang keputusan parti, serta mencabar kewibawaan institusi parti seolah-olah Perlembagaan dan Lembaga Disiplin tidak wujud.
“Lembaga Disiplin diperuntukkan kuasa oleh Perlembagaan Bersatu untuk mengambil tindakan mengukuhkan disiplin pemimpin dan ahli-ahli parti.
“Ramai yang berpandangan jika Lembaga Disiplin mengambil tindakan tegas sejak awak lagi, sudah tentu Geng SD (Akuan Bersumpah) tidak akan sewenang-wenangnya melanggar perlembagaan dan keputusan-keputusan parti berulang kali,’’ katanya.
Menurut Tun Faisal, sebagai Naib Presiden parti, Ronald sepatutnya berperanan menghalang pemimpin-pemimpin Bersatu negeri Sabah serta penyokong-penyokong Hamzah daripada terus melanggar perlembagaan, disiplin dan keputusan parti.
Namun, katanya, perkara tersebut tidak pernah dilaksanakan sebelum ini dan Ronald kini tampil bukan untuk mempertahankan Perlembagaan dan keputusan parti, sebaliknya untuk mempertahankan mereka yang berulang kali melanggar perlembagaan dan menentang keputusan parti.
“Tindakan ini jelas tidak bertanggungjawab dan mencerminkan kegagalan beliau menjalankan amanah sebagai Naib Presiden parti. Oleh itu, Ronald wajar melepaskan jawatannya atas kegagalan berfungsi dengan berkesan selama ini,’’ katanya. - 10 Februari, 2026
The post Ronald sepatutnya halang pemimpin Bersatu Sabah, penyokong Hamzah langgar perlembagaan dan disiplin: Tun Faisal appeared first on Scoop.
