Ronaldo Akui Bakal Menangis Pada Hari Persaraannya

FootballSports
5 Nov 2025 • 10:24 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Ronaldo Akui Bakal Menangis Pada Hari Persaraannya

Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo, 40, mengakui bakal menitiskan air mata apabila tiba hari persaraannya dari dunia bola sepak, lapor Be In Sports.

Menerusi sebuah temu bual bersama Piers Morgan, kapten pasukan Al-Nassr itu sekali lagi meraih perhatian apabila dia berkongsi secara terbuka sisi peribadi yang jarang ditonjolkan.

Di sebalik pengakuan tersebut, Ronaldo menunjukkan jiwanya sebagai seorang bapa, seorang lelaki yang sedar tentang perjalanan masa. Malah, Ronaldo turut menyerlahkan diri sebagai individu yang tidak lagi menyembunyikan emosinya.

Ketika bercakap tentang persaraannya, pemain bola sepak ini tidak mendedahkan tarikh sebenar, namun mengakui bahawa persaraannya dari dunia bola sepak semakin hampir. Menurutnya, detik tersebut pasti menjadi pengalaman yang sukar dan penuh emosi.

“Detik itu pasti sukar. Saya mungkin akan menangis. Saya jenis mudah menangis. Saya tidak akan menahan perasaan,” katanya.

Ronaldo turut berkongsi tentang perasaan luar biasa yang dirasai setiap kali menjaringkan gol. Menzahirkan semangat juang yang masih membara, dia menyifatkan tidak ada yang dapat menggantikan detik berkenaan.

“Tiada yang dapat menandingi,” tambahnya.

Sisi Ronaldo sebagai ketua keluarga

Dalam pada itu, Ronaldo menepis tanggapan bahawa dirinya seorang yang dingin dan sukar didekati menerusi pendedahan cabaran emosi yang dihadapinya ketika berjauhan dari keluarga.

“Saya akan punyai lebih banyak masa untuk diri sendiri dan anak-anak. Saya rindukan Bella apabila berada berjauhan terlalu lama bersama pasukan,” luah ikon bola sepak itu.

Tambahnya, dorongan peribadinya kini bertumpu untuk sentiasa mendampingi anak sulungnya. Cristiano Jr baru-baru ini menjuarai Piala Persekutuan B-16 bersama Portugal.

Baginya, tempoh ini amat penting dalam kehidupan anaknya dan mahu membimbingnya dengan lebih dekat.

“Saya mahu sentiasa bersamanya kerana dia berada pada usia yang mudah melakukan perkara tak masuk akal. Saya juga pernah begitu,” kongsinya sambil ketawa.

Sumber: Be In Sports

BACA: Ronaldo Pemain Bola Sepak Pertama Bergelar Bilionair, Ini Nilai Kekayaannya