Ronaldo catat rekod dunia

FootballSports
24 Mar 2025 • 10:56 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ronaldo. Foto AFP

BINTANG Portugal, Cristiano Ronaldo sekali lagi mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Guinness World Records selepas menjadi pemain berjaya mencatatkan kemenangan terbanyak dalam perlawanan antarabangsa.

Penghormatan itu diberikan selepas Portugal membelasah Poland 5-1 dalam aksi persahabatan pada November 2024, sekali gus menjadikan kemenangan ke-132 buat kapten kelab Al-Nassr itu bersama skuad kebangsaan.

Dengan pencapaian luar biasa tersebut, Ronaldo berjaya memintas rekod yang dipegang oleh bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Sergio Ramos, menjadikannya pemain dengan jumlah kemenangan terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa.

Menjelang perlawanan suku akhir Liga Negara-Negara menentang Denmark di Estadio Jose Alvalade pada awal pagi Isnin, Ronaldo telah menerima plak khas daripada Guinness World Records sebagai tanda pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasanya itu.

Namun, perlawanan tersebut menyaksikan detik mencemaskan apabila bintang berusia 39 tahun itu gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan yang berlangsung sengit.

Bagaimanapun, dia bangkit dengan jaringan penting yang membantu Portugal mengalahkan Denmark 5-3 secara agregat sekali gus mara ke separuh akhir.

Sepanjang kariernya yang cemerlang, Ronaldo terus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencipta kejayaan dan menjadi inspirasi kepada peminat bola sepak di seluruh dunia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved