
LISBON – Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, 41, akhirnya sah bergelar suami kepada Georgina Rodriguez, 32, dalam satu majlis perkahwinan tertutup, semalam
Perkara itu disahkan wakil pemain berkenaan kepada AFP yang memaklumkan pasangan tersebut melangsungkan perkahwinan di sebuah lokasi peranginan pantai di Cascais, berhampiran Lisbon, Portugal.
Menguatkan lagi berita gembira itu, Ronaldo turut berkongsi menerusi akaun Instagram miliknya dengan memuat naik gambar tangan mereka yang memakai cincin perkahwinan.
“C love G,” tulis Ronaldo sebagai kapsyen ringkas pada hantaran tersebut.

Majlis berkenaan berlangsung secara “peribadi dan intim” dengan kelima-lima anak pasangan itu turut hadir meraikan hari bahagia mereka.
Perkahwinan tersebut berlangsung genap setahun selepas Georgina mengumumkan pertunangan mereka menerusi Instagram pada tahun lalu.
Ronaldo dan Georgina telah menjalin hubungan lebih 10 tahun lalu dan sering menjadi perhatian peminat serta media antarabangsa.
Georgina yang merupakan seorang pempengaruh terkenal turut aktif berkongsi kehidupan bersama Ronaldo dan anak-anak mereka di media sosial.
Ronaldo ketika ini beraksi bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr, selepas pernah menyarung jersi kelab gergasi Eropah seperti Manchester United, Real Madrid dan Juventus.
Pemain kelahiran Portugal itu juga merupakan antara pemain paling berjaya dalam sejarah bola sepak dunia apabila memenangi anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali.
Dengan perkahwinan tersebut, hubungan Ronaldo dan Georgina kini memasuki fasa baharu selepas sekian lama bersama dan membesarkan keluarga mereka. -Agensi
The post Ronaldo, Georgina akhirnya bergelar suami isteri appeared first on Kosmo Digital.



