Ronaldo jelaskan keputusan terus bersama Portugal

FootballSports
24 Sep 2026 • 3:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ronaldo jelaskan keputusan terus bersama Portugal
Cristiano Ronaldo

LISBON - Cristiano Ronaldo mengakui pernah mempertimbangkan untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas Piala Dunia sebelum memutuskan untuk meneruskan karier bersama skuad kebangsaan Portugal, lapor PA Media/dpa.

Ronaldo, yang akan berusia 42 tahun pada Februari bakal membuat penampilan antarabangsa ke-234 ketika menentang Wales di Lisbon pada Khamis.

Ketua jurulatih Portugal Jorge Jesus mengesahkan bekas penyerang Manchester United dan Real Madrid itu akan diturunkan dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEFA berkenaan.

Sebahagian pengulas berpendapat perlawanan di Stadium Jose Alvalade, gelanggang kelab pertama Ronaldo, Sporting, mungkin menjadi penampilan terakhirnya bersama Portugal.

Bagaimanapun, pemenang Ballon d’Or lima kali itu berkata beliau hanya akan berhenti apabila merasakan tidak lagi mampu memberi sumbangan kepada pasukan.

Apabila ditanya sama ada beliau ada mempertimbangkan untuk berundur daripada skuad Portugal selepas Piala Dunia, Ronaldo berkata: "Ya, saya ada memikirkannya. Sudah tentu saya sentiasa menilai keputusan saya, masa depan saya, serta keadaan semasa."

"Saya seorang yang banyak berfikir. Kita perlu berfikir. Sebab itu anda masih melihat saya di sini sekarang. Ini bermakna saya akan teruskan,” kata beliau.

Ronaldo berkata beliau telah berbincang dengan presiden persekutuan dan jurulatih serta masih percaya mampu membantu pasukan kebangsaan mencapai sasaran mereka.

"Saya fikir saya masih boleh menyumbang kepada pasukan kebangsaan, bukan sahaja melalui jaringan gol tetapi juga di luar padang.

"Ini generasi muda yang baharu, tetapi bagi saya perkara asas tetap sama, iaitu menjaringkan gol dan membantu pasukan memenangi perlawanan,” kata beliau.

Akhbar utama Portugal, A Bola, sebelum perlawanan menentang Wales menjalankan tinjauan yang meminta pembaca memilih kesebelasan utama mereka, namun Ronaldo tidak tersenarai.

Ronaldo berkata beliau memahami ada pihak yang terus mengkritiknya, namun menganggap sokongan penyokong Portugal masih kuat.

Pemain Al Nassr itu kini telah menjaringkan 979 gol sepanjang kariernya.

Beliau menafikan terlalu obses untuk mencapai angka 1,000 gol, namun mengakui mahu mencapai pencapaian itu ketika bersama Portugal.

"Saya tahu mengapa kanak-kanak menyukai Cristiano, kerana mereka melihat saya sebagai contoh dan saya akan terus berbuat demikian, walaupun selepas bersara.

"Saya gembira dengan diri saya. Tidak kira sama ada saya bermain esok atau berehat pada perlawanan seterusnya, yang paling penting ialah saya berasa baik,” kata beliau. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved