
PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kini meneliti aduan yang dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkaitan kedudukan parti itu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Jabatan itu menerusi kenyataan memaklumkan telah menerima aduan rasmi daripada Bersatu hari ini
Katanya, antara perkara yang dibangkitkan dalam aduan tersebut adalah dakwaan bahawa Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026 selain isu berkaitan kedudukan keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan.
“Penelitian terhadap aduan yang dibangkitkan ini sedang dilaksanakan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, perlembagaan pertubuhan yang diluluskan serta rekod rasmi jabatan.
“Bagi memastikan penelitian dibuat secara menyeluruh dan berlandaskan undang-undang, semua maklumat, dokumen serta penjelasan yang dikemukakan oleh pihak-pihak berkaitan akan diteliti,” menurut kenyataan itu.
Bersatu sebelum ini bercadang mengemukakan laporan kepada RoS berhubung dakwaan keanggotaannya dalam PN gugur secara automatik susulan hasrat parti itu membentuk gabungan politik baharu.
Dalam pada itu, RoS berkata, setiap pertubuhan yang berdaftar diwajibkan mematuhi Akta Pertubuhan 1966 peraturan-peraturan berkaitan serta perlembagaan pertubuhan masing-masing.
Menurutnya, penelitian terhadap perkara yang dibangkitkan akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Jabatan itu turut memaklumkan akan terus bertindak secara profesional dan tanpa memihak kepada mana-mana pihak serta tidak mempunyai kepentingan terhadap mana-mana pertubuhan atau parti politik
RoS turut memberi jaminan bahawa penelitian terhadap aduan berkenaan akan dibuat berdasarkan rekod, dokumen dan peruntukan undang-undang yang berkaitan sebelum sebarang tindakan selanjutnya diputuskan.-UTUSAN
The post RoS terima aduan Bersatu, teliti secara menyeluruh appeared first on Utusan Malaysia.






