
PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan telah menerima aduan rasmi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini antaranya dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 16 Julai lalu.
Ini termasuk aduan berkaitan kedudukan keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.
Menurut RoS, penelitian terhadap aduan yang dibangkitkan ini sedang dilaksanakan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, perlembagaan pertubuhan yang diluluskan serta rekod rasmi Jabatan.
“Bagi memastikan penelitian dibuat secara menyeluruh dan berlandaskan undang-undang, semua maklumat, dokumen serta penjelasan yang dikemukakan oleh pihak-pihak berkaitan akan diteliti.
“Setiap pertubuhan berdaftar wajib mematuhi Akta Pertubuhan 1966, peraturan-peraturan berkaitan serta perlembagaan pertubuhan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, penelitian terhadap perkara yang dibangkitkan akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, katanya, pihaknya akan terus bertindak secara profesional dan tanpa memihak kepada mana-mana pihak serta tidak mempunyai kepentingan terhadap mana-mana pertubuhan atau parti politik. – UTUSAN
The post RoS sahkan terima aduan Bersatu isu kedudukan dalam PN appeared first on Utusan Malaysia.






