
PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak pernah meluluskan sebarang pendaftaran pertubuhan Rohingya sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.
RoS berkata, setiap permohonan pendaftaran pertubuhan diteliti dan dinilai oleh Pendaftar Pertubuhan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
“Pemenuhan syarat asas permohonan tidak bermakna sesuatu pertubuhan akan mendapat kelulusan pendaftaran secara automatik.
“Sebaliknya, setiap permohonan tertakluk kepada proses penelitian dan pertimbangan Pendaftar Pertubuhan, sebelum keputusan dibuat,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Jelasnya, syarat asas pendaftaran pertubuhan termasuk mempunyai sekurang-kurangnya tujuh ahli, perlembagaan pertubuhan yang lengkap, pemegang jawatan yang sah serta permohonan lengkap menerusi sistem eROSES.
“Proses pendaftaran bermula dengan pengemukaan permohonan melalui sistem berkenaan. “Ia kemudian diikuti semakan dokumen dan maklumat, sebelum dinilai berdasarkan peruntukan Akta 832.
“Keputusan kelulusan pendaftaran kemudiannya dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan,” katanya.
Sehubungan itu, RoS turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.
Baru-baru ini, seorang pengguna aplikasi Threads menerusi akaun x_.tw9 membangkitkan isu status Rohingya Society Malaysia (RSM) yang didakwa tidak sah, selain mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung laporan polis terhadap pertubuhan itu pada 2020.- UTUSAN
The post RoS tidak pernah lulus pendaftaran NGO Rohingya appeared first on Utusan Malaysia.






