RoS tidak pernah lulus pendaftaran NGO Rohingya di Malaysia

10 Nov 2026 • 2:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RoS tidak pernah lulus pendaftaran NGO Rohingya di Malaysia
RoS menegaskan tidak pernah meluluskan sebarang pendaftaran pertubuhan Rohingya sebagai badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang pendaftaran pertubuhan Rohingya sebagai badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia.

RoS dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan bahawa setiap permohonan pendaftaran pertubuhan diteliti dan dinilai oleh Pendaftar Pertubuhan, berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).

"Pemenuhan syarat asas permohonan tidak bermakna sesuatu pertubuhan akan mendapat kelulusan pendaftaran secara automatik.

"Sebaliknya, setiap permohonan tertakluk kepada proses penelitian dan pertimbangan Pendaftar Pertubuhan, sebelum keputusan dibuat,” menurut kenyataan itu.

RoS turut menjelaskan bahawa syarat asas pendaftaran pertubuhan termasuk mempunyai sekurang-kurangnya tujuh ahli, perlembagaan pertubuhan yang lengkap, pemegang jawatan yang sah serta permohonan lengkap menerusi sistem eROSES.

"Proses pendaftaran bermula dengan pengemukaan permohonan melalui sistem berkenaan, diikuti semakan dokumen dan maklumat, sebelum dinilai berdasarkan peruntukan Akta 832. Keputusan kelulusan pendaftaran kemudiannya dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan,” menurut kenyataan itu.

RoS turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.

Permohonan pendaftaran pertubuhan boleh dikemukakan menerusi sistem eROSES di www.eroses.gov.my.

Baru-baru ini, seorang pengguna aplikasi Threads menerusi akaun x_.tw9, membangkitkan isu status Rohingya Society Malaysia (RSM) yang didakwa tidak sah, selain mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung laporan polis terhadap pertubuhan itu pada 2020. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved