
“BERAKHIRNYA sebuah perkahwinan tidak bermakna berakhirnya kehidupan.
“Seorang wanita masih mempunyai peluang untuk membina kerjaya, membesarkan anak-anak dan mencari kebahagiaan dengan caranya sendiri.”
Itu prinsip yang dipegang kemas wanita kental, Roslina Sabiyah, 46, sekali gus membuktikan bahawa kegagalan dalam rumah tangga bukan noktah kepada segalanya.
Membesarkan enam anak, membina firma guaman sendiri dan bangkit selepas perceraian pada 2024, wanita berasal dari Pontian, Johor ini membuktikan kehidupan tidak boleh terhenti hanya kerana diri diuji.
Di sebalik tanggungjawab sebagai ibu dan peguam, dia memilih untuk terus melangkah, mengukuhkan kerjaya serta membuka ruang kepada kebahagiaan baharu.
“Kekuatan itu tidak hadir dalam sekelip mata, sebaliknya terbentuk melalui pengalaman mengharungi cabaran keluarga.
“Tidak setakat itu, saya juga terpaksa mencari pendapatan tambahan bagi membesarkan anak-anak dan mempertahankan kerjaya dibina dengan usaha sendiri,” katanya kepada K-Wanita.

Roslina mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam bidang guaman selepas diterima masuk sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya pada 14 Disember 2004.
Dia turut ditauliahkan sebagai Peguam Syarie Negeri Johor pada 2009.
Berkongsi lanjut, perjalanan profesionalnya bermula apabila berkhidmat sebagai pembantu guaman di beberapa firma sekitar Pontian dan Johor Bahru selama tujuh tahun dengan pengalaman mengendalikan pelbagai kes litigasi.
Berbekalkan pengalaman itu, dia mengambil keputusan berani menubuhkan firma sendiri, Tetuan Roslina Sabiyah & Co. pada tahun 2011.
Langkah tersebut menjadi titik penting dalam usahanya membina kerjaya secara berdikari.
Di sebalik kesibukan mengurus firma, Roslina turut melakukan pelbagai pekerjaan sampingan ketika menjalani kehidupan berkeluarga.
Misalnya, dia pernah menjadi ejen produk kesihatan, menjual pakaian kanak-kanak dan broker hartanah bagi menambah pendapatan.
Pengalaman itu mengajarnya bahawa tanggungjawab keluarga menuntut kesediaan untuk berusaha, mencari peluang dan menyesuaikan diri dengan keadaan, tanpa mengabaikan cita-cita profesional.
Jelasnya, apabila perkahwinannya berakhir dengan perceraian, dia perlu meneruskan kehidupan sambil membesarkan anak dan memastikan kerjaya yang dibina selama bertahun-tahun terus bertahan.
Bagi Roslina, fasa tersebut menuntut kekuatan emosi dan ketabahan untuk menerima perubahan, di samping menyusun semula kehidupan demi masa depan keluarga.
“Jangan jadikan perceraian sebagai ukuran kegagalan diri.
“Apa yang berlaku mungkin mengubah perjalanan hidup kita, tetapi tidak bermakna kita kehilangan hak untuk bahagia dan membina masa depan lebih baik,” ujarnya.

Pengalaman itu turut memperkukuhkan kesedarannya tentang pentingnya wanita memahami hak masing-masing, terutama dalam urusan kekeluargaan, perceraian dan pengurusan harta.
Atas kesedaran itu, Roslina aktif berkongsi ilmu undang-undang melalui media sosial, khususnya berkaitan hibah, wasiat, faraid, pengurusan harta pusaka dan hak wanita.
Penulisannya pernah diterbitkan semula oleh beberapa media terkenal di negara ini, selain sering dijemput sebagai penceramah dan panel dalam program televisyen, radio, forum serta ceramah.
Sumbangannya turut merangkumi penglibatan sebagai perunding dan penyelidik dalam pembangunan Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita Negeri Johor, khususnya bagi aspek pembelaan hak wanita dan sokongan perundangan.
Komitmen terhadap ilmu turut mendorong Roslina melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sekali gus memperluas pengetahuan dan perspektif profesionalnya.
Selepas melalui pelbagai fasa kehidupan, dia membuka lembaran baharu apabila berkahwin semula pada Jun lalu dengan seorang bapa tunggal yang mempunyai lapan orang anak.
Suaminya bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM, dan perkahwinan tersebut menyatukan dua keluarga dengan keseluruhan 14 orang anak.
Pengalaman membina keluarga campuran membawa cabaran tersendiri, termasuk menyesuaikan diri dengan keperluan setiap anak serta membentuk hubungan kekeluargaan yang harmoni.
Bagi Roslina, peluang kedua bukan bermaksud melupakan masa lalu, sebaliknya menerima pengalaman tersebut sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup dan membina masa depan dengan perspektif lebih matang.
Kini, dia berhasrat memperluas pendidikan undang-undang melalui penulisan, ceramah dan program kesedaran masyarakat, khususnya berkaitan perancangan harta, hak wanita serta perlindungan kepentingan keluarga.
The post Roslina bangkit dari detik hitam, aktif bela hak wanita appeared first on Kosmo Online.


