Rosmah dapat penangguhan bersyarat bayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 11:32 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rosmah dapat penangguhan bersyarat bayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini untuk menangguhkan bayaran RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas dari Lubnan Global Royalty Trading SAL.

Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani membenarkan permohonan Rosmah, 75, untuk menangguhkan bayaran berkenaan kepada syarikat itu.

Meskipun memperoleh penangguhan bayaran kepada syarikat tersebut, mahkamah memerintahkan Rosmah perlu mendepositkan jumlah itu ke ke akaun pemegang amanah bersama bagi pihak peguam kedua-dua pihak dalam tempoh sebulan, dari hari ini.

Dalam penghakiman, mahkamah menyatakan bahawa penangguhan bersyarat mengimbangi hak pihak-pihak yang terlibat selain memastikan plaintif mendapat hasil daripada kejayaan tuntutan mahkamahnya dan pada masa sama turut menjamin hak rayuan defendan (Rosmah) supaya tidak menjadi sia-sia sekiranya rayuannya dibenarkan.

“Dalam keadaan ini, mahkamah memerintahkan agar penangguhan pelaksanaan bersyarat diberikan kepada defendan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan,” kata Marianne.

Pada 10 Jun lalu, Rosmah diperintah membayar sebanyak RM67.5 juta kepada Global Royalty Trading SAL berhubung kehilangan 43 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada isteri Perdana Menteri itu.

Hakim Datuk Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang dikemukakan syarikat itu selaku plaintif terhadap Rosmah, 75, selaku defendan dalam kes saman itu.

Mahkamah turut memerintahkan, ganti rugi itu perlu dibayar Rosmah dalam tempoh sebulan bermula tarikh penghakiman selain Rosmah perlu membayar kos sebanyak RM150,000 yang mana RM75,000 kepada plaintif manakala RM75,000 lagi kepada pihak ketiga.

Hakim Chew Soon itu ketika membacakan penghakimannya, berkata, mahkamah mendapati terdapat prima facie bahawa Rosmah gagal memulangkan barangan kemas berkenaan kepada syarikat itu dan ia adalah bukti kecuaian selain Rosmah gagal membuktikan dakwaan bahawa kesemua 43 barang kemas tersebut telah disita.

Dalam pada itu, hakim turut menolak tuntutan Rosmah terhadap pihak ketiga iaitu Ketua Polis Negara dan kerajaan, berhubung dakwaannya bahawa barang kemas yang hilang itu telah disita ketika serbuan polis yang berkaitan dengan siasatan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad pada tahun 2018.

Menurut Chew Soon dalam kes saman itu, Rosmah menegaskan barangan kemas itu diserahkan kepadanya untuk dilihat di mana pengaturan itu adalah suatu konsainan.

Hakim itu berkata, Rosmah juga menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kewajipan untuk membeli barang kemas terbabit dan ia bukan miliknya serta telah disita pihak berkuasa.

Katanya, keaslian nota konsainan tidak pernah dipertikaikan dalam prosiding terdahulu, sebaliknya Rosmah sendiri telah bergantung dan merujuk kepadanya sebagai sebahagian daripada kedudukan yang dipohon dan juga keterangannya.

Global Royalty memfailkan saman AS$14.57 juta saman terhadap Rosmah berkaitan kehilangan lebih 40 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada Rosmah.

Sebelum ini, pada hari pertama perbicaraan 13 April lalu, mahkamah telah mendengar keterangan pengasas Global Royalty, Samer Hassim Halimeh selaku saksi plaintif diikuti Rosmah selaku defendan.

Rosmah Ketika memberi keterangan menafikan beliau mengabai atau enggan memulangkan lebih 40 barang kemas yang hilang kepada syarikat barang kemas dari Lubnan itu.

Katanya, sepanjang tempoh berkaitan, beliau telah mengambil langkah berwaspada dalam menjaga barang kemas terbabit dengan niat untuk memulangkannya kepada Samer Hassib apabila diminta dalam keadaan asal seperti barang kemas itu diterima. – KOSMO! ONLINE

The post Rosmah dapat penangguhan bersyarat bayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved