
KESUKARAN yang dilalui sewaktu mula mencari tapak sebagai pelakon lebih tiga dekad lalu membuatkan pelakon, Rashdan Baba, 57, bersyukur dengan kesenangan dimilikinya hari ini.
Rashdan mengenang detik kepayahan antaranya mencatu makanan dan terpaksa jauh berulang alik ke tempat dia membanting tulang sebagai pengajaran dalam hidup.
“Sekitar tahun 1993, sebelum bergelar pelakon, saya lebih dulu bekerja sebagai pelayan tetamu di sebuah restoran yang terletak di Shangri la Hotel. Itu pertama kali saya turun ke Kuala Lumpur dengan niat mahu mencari pekerjaan.
“Waktu itu saya hidup susah. Disebabkan ketiadaan satu sen pun dalam poket, saya terpaksa berkongsi dengan dua rakan lain roti kosong yang dibeli.
“Itu dilakukan sekadar alas perut sementara menunggu gaji yang dibayar secara mingguan. Perkara itu berlaku selama dua ke tiga hari,” katanya.
Rashdan berkata, lebih mencabar lagi apabila mereka terpaksa berjalan sejauh 4.3 kilometer (km), selama hampir satu jam ke hotel shangri-La yang terletak di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
“Bayangkan hampir setiap hari kami berjalan sejauh itu. Namun kami reda kerana ingin mencari pendapatan. Memang hanya untuk survival. Bukan saya tidak mahu meminjam wang ibu dan ayah di kampung, tetapi saya sudah diajar berdikari dan tidak mahu menyusahkan orang tua.
“Dan perkara itu (berdikari) saya ajarkan kepada ketiga-tiga anak saya. Alhamdulillah mereka juga mampu mencari duit dan membeli barang keperluan dengan duit sendiri,” ujarnya.
Kata Rashdan, sejak dahulu dia belajar untuk tidak mengadu mengenai kesusahan yang dihadapinya. Katanya, hidup ini penuh masalah. Namun bukan alasan untuk kita tidak mencari jalan penyelesaian.
“Bila kita ada sifat reda, secara automatik hidup kita bertukar tenang. Memanglah hidup ini penuh masalah. Saya tidak terkecuali, macam-macam masalah yang saya hadapi.
“Tapi janganlah sehingga masalah itu membuatkan wajah kita berkerut, ibaratnya kita mengendong beban yang berat. Setiap masalah ada penyelesaian. Daripada kini sibuk memikirkan tentang masalah, seeloknya kita fikirkan jalan penyelesaian.Hidup kita ini perlu ada doa dan ikhtiar. Kalau kita minta kepada Allah RM1 juta, tak akanlah Allah hendak bagi kepada kita tanpa perlu kita usaha,” kongsinya.

GAGAL UJI BAKAT HARRY BOY
Rashdan atau nama sebenarnya Muhamad Rashdan Abdull Halim merupakan anak pendidik yang dibesarkan dalam keluarga mencintai seni.
Ini kerana bapanya, Allahyarham Abdull Halim Taib merupakan seorang guru pendidikan seni di sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gunung, Backok, Kelantan sebelum bergelar pengetua di SMK seberang Seberang Temerloh dan akhirnya bergelar pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim , Sungai Petani, Kedah.
Sementara, ibunya pula suri rumah tangga sepenuh masa yang sentiasa menyokong penglibatan seninya.
Pelakon ini masih ingat pesanan bapanya yang menyuruh beliau menjaga nama baik keluarga sebelum dia berpindah ke Kuala Lumpur satu masa dulu.
“Bapa tinggal pesan, kalau jadi pelakon, jagalah nama baik keluarga dan pandai-pandailah menjaga diri di tempat orang,” katanya.

Hakikatnya, Rashdan ke Kuala Lumpur untuk merebut peluang sebagai penyanyi. Namun disebabkan tidak yakin dengan bakat nyanyiannya, di samping lambakan penyanyi rock yang lahir bagai cendawan tumbuh selepas hujan, hasrat beliau terkubur begitu sahaja.
Sehinggalah beliau dimaklumkan dan hadir uji bakat filem Harry Boy, arahan A. R Badul pada tahun 1991.
“Itu kali pertama saya menghadiri uji bakat untuk watak sahabat baik kepada pelakon utamanya, Allahyarham Badrul Muhayat.
“Saya masih ingat uji bakat itu dilakukan di pejabat Ziela Jalil di Ulu Kelang. Ketika itu uji bakat itu diadili oleh A.R Badul.
“Namun, nasib tidak menyebelahi apabila saya gagal mendapatkan watak tersebut. Saya pulang ke Kampung saya di Sungai Petani dengan rasa hampa. Namun saya tetap berusaha dan tidak pernah menyerah kalah,” jelasnya.
Kemudian beliau ditawarkan watak pelakon tambahan untuk babak meraikan hari ulang tahun bagi drama yang diterbitkan HVD Malaysia.
“Saya terus mengambil peluang itu, sekali lagi pergi ke Kuala Lumpur dan kemudiannya dijemput oleh van yang dipandu sendiri oleh pelakon, Kismah Johar,” kongsinya.
Rashdan mencipta populariti dalam beberapa drama terbitan HVD Malaysia antaranya Rosanita yang ditayangkan di RTM1, selain satu episod dalam drama Kisah Benar yang ditayangkan di TV3.
“Saya pernah ditawarkan untuk mengikat kontrak bersama HVD. Namun saya tolak atas alasan gaji yang terlalu murah. Bayangkan bagi pelakon kontrak, anda diminta berlakon dua ke tiga naskhah dalam sehari dengan bayaran RM700,” jelasnya.

JAGA RESTORAN KERANA INFLASI
Setelah beberapa tahun berlakon, aktiviti itu terpaksa dihentikan akibat kegawatan ekonomi yang melanda negara pada 1998.
Seperti kebanyakan anak seni, Rashdan terpaksa menarik diri daripada kegiatan itu kerana banyak syarikat produksi terpaksa menamatkan operasi akibat inflasi.
“Saya tiada pilihan lain selain berpindah ke rumah ibu saudara saya di Perak dan bekerja sebagai pengurus restoran yang diusahakannya,” ceritanya.
Selepas keadaan beransur pulih, Rashdan kembali ke dunia lakonan dengan membintangi beberapa drama antaranya Maria Mariana The Series pada tahun 2000.
Namun disebabkan isu bayaran, beliau kembali menyepi selama dua tahun daripada dunia seni lakonan.
“Saya kecewa kerana bayaran pelakon semakin lama semakin rendah. Keadaan ini berbeza dengan negara luar yang bayaran pelakon lama semakin bertambah.
“Bukannya kita minta bulan dan bintang, cuma yang kami harapkan hanyalah bayaran yang setimpal dengan watak yang diberikan.
“Bukan mahu berlagak, tapi hakikatnya begitu. Daripada ambil saya berlakon, lebih baik mereka ambil pelakon baharu sahaja,” ujarnya.

Pastinya soalan peminat tentang ke manakah keberadaan Rashdan Baba terjawab menerusi pembabitannya dalam Kilauan Emas yang bakal membuka tirai pada 22 Ogos ini.
Belum pun bermula, para peserta sudah diuji dengan komen-komen panas netizen yang mempersoalkan kebolehan nyanyian peserta yang rata-ratanya bukan penyanyi.
Kata Rashdan, pembabitannya dalam pertandingan itu sekadar menghiburkan penonton dan pada masa sama melakukan kerja amal menerusi kejuaraan mingguan.
“Samalah seperti pelakon yang membawa watak doktor atau peguam, kali ini kita sebagai penyanyi pula. Memang ada yang mempersoalkan kebolehan nyanyian kami. Namun harus diingat jika atas dasar hiburan, perkara itu dibolehkan.
“Kami bukanlah penyanyi profesional. Namun kami tidak mengambil ringan pertandingan ini kerana belajar cara nyanyian yang betul daripada cikgu shafizawati Shariff.
“Jadi, mohon peminat tidak mengharapkan kami menyanyi seperti penyanyi profesional.
“Program ini sekadar hiburan, pemenang mingguan berpeluang membuat amal kebajikan dengan menyumbangkan wang yang dimenangi untuk kegunaan rakan-rakan artis yang memerlukan,” jelasnya.
The post Roti kosong, kongsi tiga – Rashdan Baba appeared first on Utusan Malaysia.


