Saya akan mengaku, tidak pernah berpura-pura mangsa – Aliff Aziz

Entertainment
14 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Saya akan mengaku, tidak pernah berpura-pura mangsa – Aliff Aziz

“SEKIRANYA saya tersilap langkah, saya akan mengaku dan tidak pernah berpura-pura sebagai mangsa,”

Demikian kata pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, ketika mengenang kembali siri kontroversi yang pernah menghambatnya suatu ketika dahulu. Baginya, tiada guna terus meratapi dan menghukum diri sebaliknya membina kekuatan untuk melangkah lebih baik di masa hadapan. 

Memasuki usia 35 tahun, Aliff atau Mohamad Aliff Aziz, percaya waktu bergerak cepat dan dia tidak boleh terlalu lama terikat dengan bayangan dosa silam. Walaupun tahu bahawa dirinya selalu menjadi bahan makian, namun jejaka itu berpegang kepada doa yang selalu dibacakan agar Allah mengampuninya.

“Saya takut  kalau saya ‘duduk’ lama sangat, bila saya buka mata rupanya sudah terlambat untuk buat apa-apa. Jadi saya berpegang kepada harapan dan keyakinan bahawa Allah sudah maafkan apa yang saya telah buat. 

“Hati saya lapang bila fikir begitu, orang lain saya tidak tahu. Bila hati lapang, kita akan tarik energi yang baik termasuklah rezeki. 

“Tapi kadangkala itu mestilah ada terdetik fikir ‘macam mana?’, atau adakah lagi rezeki esok hari? Namun saya tak nak sekadar duduk meratapi. Saya boleh angkat muka dan jalan terus, hadapi apa-apa halangan di masa hadapan. 

“Jadi saya doa ‘Ya Allah bagilah mudah jalanku ini, apa sahaja beban yang ada disebabkan kelemahan aku sendiri, kau kuatkanlah hati supaya dapat maafkan diri sendiri’. 

“Biarlah apa orang mahu kata dan bercerita, tapi hidup ini saya kena teruskan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyanyi Sayang Sayang itu juga mengakui dia tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan cakap-cakap orang mengenai dirinya.

Bagaimanapun, jejaka asal Singapura itu mengingatkan orang ramai bahawa apa sahaja kata-kata yang ditinggalkan di media sosial akan dipertanggungjawabkan kelak.

“Tetapi saya nak sampaikan juga kepada saya dan juga kepada semua, Insya-Allah,apa saja yang kita cakap, tulis, kongsi kepada kawan-kawan akan dipertanggjawabkan. 

“Sekarang kita tak nampak lagi, tapi jangan disebabkan kita punya komen ataupun kongsi perkara tak elok akan membawa padah kembali kepada kita. Kalau nampak sesuatu kisah atau artikeljangan rasa ringan nak komen.

“Saya pula secara peribadi ada banyak benda dalaman yang harus saya perbaiki, harus memaafkan. Jadi saya lebih fokus kepada itu daripada saya nak fikir pasal benda lain,” katanya.

Bagi Aliff, segelintir masyarakat mungkin terlupa bahawa selebriti juga hanyalah manusia biasa. Oleh itu, dia bertekad untuk terus memperbaiki diri menjadi insan lebih baik.

“Kita tahu apa kekurangan dan apa yang kita lakukan. Saya seorang pelakon, penyanyi, selebriti, tapi saya juga manusia biasa. Cuma perjalanan kita berbeza. Orang tidak tahu apa yang saya lakukan di rumah untuk baiki diri.

“Saya ubah cara berfikir, bersosial dan sebagainya dan itu perang dalam diri yang tak perlu saya kongsi kepada orang. Segala rezeki, jodoh, ajal saya serahkan bulat-bulat kepada Allah,” katanya. 

Ditanya mengenai status semasa, Aliff bagaimanapun mengunci mulut namun menegaskan hatinya sentiasa terbuka seandainya ditakdirkan mempunyai perkahwinan baharu di masa hadapan.

“Kalau saya nak dapat pasangan yang baik, pastilah saya kena jadi baik.  Ituah yang saya lakukan cuma saya tidak mahu hakimi sesiapa. Saya pun tahu ada rekod tak berapa baik di mata umum. 

“Namun, saya doa yang baik-baik dan saya bukan sesiapa untuk mempertikaikan rezeki. Saya juga percaya dalam diam pasti ada yang doakan saya secara senyap-senyap termasuklah yang hantar mesej di Instagram. Yang maki-maki, saya baca seimbas lalu dan fokus hal positif” katanya.

Terkini, Aliff membintangi watak utama Adli dalam siri Madu atau Racun. Mengisahkan tentang lelaki manipulatif yang mengkhianati perkahwinan demi seorang perempuan bernama Nikita.

Siri itu mula ditayangkan menerusi platform iQIYI 14 Ogos ini.

The post Saya akan mengaku, tidak pernah berpura-pura mangsa – Aliff Aziz appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved