RS-1: Nilai ekonomi Selangor berkembang, meningkat sebanyak RM133.3 bilion

LocalBusiness & Finance
7 Aug 2026 • 4:16 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

RS-1: Nilai ekonomi Selangor berkembang, meningkat sebanyak RM133.3 bilion

SHAH ALAM, 7 OGOS: Nilai ekonomi Selangor mencecah RM460.1 bilion dengan peningkatan sebanyak RM133.3 bilion, iaitu 28.97 peratus sepanjang tempoh Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Dato' Menteri Besar berkata pencapaian itu direkodkan ketika dunia berdepan cabaran termasuk pandemik Covid-19 dan konflik Rusia-Ukraine yang menjejaskan rantaian bekalan makanan global.

Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, kejayaan tersebut juga hasil usaha pemulihan ekonomi yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bersama sumbangan seluruh rakyat Selangor.

"Pencapaian tersebut hasil sumbanan setiap rakyat Selangor bermula daripada usaha pekerja kilang dan guru di sekolah kepada petugas yang membersihkan taman serta menurap jalan.

"(Ia) termasuk pemandu bas serta penunggang e-panggilan sehinggalah kepada usahawan, peniaga gerai PLATS serta penjawat awam," katanya ketika membentangkan RS-2 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau menjelaskan sebanyak 79 peratus daripada keseluruhan ikhtiar berjaya dicapai dan berada dalam pelbagai fasa pelaksanaan, selain melepasi sembilan daripada 16 indikator yang ditetapkan.

Menurut Amirudin, pencapaian direkodkan antaranya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.5 peratus secara konsisten, melebihi sasaran awal 6.5 hingga 7.0 peratus setiap tahun.

Tambahnya, nilai pelaburan, guna tenaga, pendapatan median isi rumah bulanan juga melebihi sasaran sebanyak RM1,436 sebulan kepada RM10,736 berbanding RM9,290 yang ditetapkan.

"Kadar kemiskinan relatif turut dikurangkan kepada 8.5 peratus, Indeks Kebahagiaan meningkat ke 7.21 berbanding sasaran 7.00, selain bekalan air bersih terus disediakan tanpa gangguan terutamanya akibat pencemaran sungai.

"(Selain itu), keluasan hutan simpan kekal meningkat kepada 31.7 peratus, tahap kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) melebihi sasaran sehingga 94.71 peratus," katanya.

RS-1 yang dibentangkan pada 27 Julai 2022 merupakan pelan pembangunan komprehensif pertama Kerajaan Negeri yang menggariskan 16 indikator utama bagi mengukur pencapaian negeri.

Ia dibangunkan berasaskan empat tema utama, iaitu ekonomi, sosial, kelestarian dan tadbir urus, dengan matlamat menjadikan Selangor negeri pintar, berdaya huni dan makmur menjelang 2025.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved