Hutang negara menurun, ekonomi berkembang?

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hutang negara menurun, ekonomi berkembang?

BERDASARKAN data terkini Kementerian Kewangan, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun kepada 63.1 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 65.2 peratus pada tahun sebelumnya. 

Dalam tempoh sama, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus, manakala pelaburan terus mencatatkan peningkatan.

Ini menunjukkan walaupun kerajaan masih mempunyai komitmen hutang, namun ekonomi berkembang pada kadar yang lebih pantas, sekali gus membantu mengurangkan nisbah hutang berbanding saiz ekonomi negara.

Dalam menilai kedudukan fiskal sesebuah negara, jumlah hutang sahaja tidak memberikan gambaran yang lengkap. Struktur hutang juga memainkan peranan penting.

Sebahagian besar hutang Kerajaan Persekutuan diterbitkan dalam Ringgit Malaysia dan dipegang oleh institusi kewangan tempatan serta bank-bank domestik. Keadaan ini mengurangkan pendedahan Malaysia kepada risiko turun naik mata wang asing dan kejutan pasaran global.

Undang-undang turut menetapkan pinjaman kerajaan tidak boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus seperti pembayaran gaji, sebaliknya digunakan bagi tujuan pembangunan dan pelaburan yang memberi manfaat kepada ekonomi dalam jangka panjang.

Usaha memperkukuh disiplin fiskal turut diperkasakan menerusi Akta Tanggungjawab Kewangan Awam dan Kawalan Bekalan (Akta 850), yang bertujuan meningkatkan ketelusan, memperkukuh pengurusan kewangan kerajaan dan mengawal komitmen fiskal pada masa hadapan.

Tidak semua langkah pembaharuan ekonomi mudah diterima masyarakat. Pelaksanaan e-invois, misalnya, memerlukan penyesuaian oleh komuniti perniagaan dan menimbulkan pelbagai kebimbangan pada peringkat awal. Namun, objektif utama pelaksanaannya adalah untuk memperkukuh sistem percukaian negara, mengurangkan ketirisan hasil dan meningkatkan pematuhan cukai.

Dalam konteks ini, e-invois dilihat sebagai satu daripada langkah pembaharuan bagi mengurangkan ekonomi tidak formal, membendung pengelakan cukai dan memperkukuh hasil negara tanpa memperkenalkan cukai baharu yang memberi kesan terus kepada pengguna.

Dengan pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas berbanding pertambahan hutang, nisbah hutang kepada KDNK dijangka terus menurun sekiranya momentum pertumbuhan dan disiplin fiskal dapat dikekalkan.

Pengurusan hutang negara tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah hutang semata-mata. Ia perlu dilihat bersama kadar pertumbuhan ekonomi, struktur hutang, keupayaan kerajaan mengurus fiskal dan keberkesanan dasar pembaharuan.

Penurunan nisbah hutang kepada KDNK kepada 63.1 peratus, pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.8 peratus serta peningkatan pelaburan menunjukkan beberapa petunjuk positif terhadap prestasi ekonomi semasa.

Namun, kejayaan jangka panjang bergantung kepada kemampuan kerajaan meneruskan reformasi fiskal, meningkatkan hasil negara, menarik pelaburan berkualiti dan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat. –UTUSAN

 

DR. MOHD. AMIM OTHMAN

Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna

Fakulti Ekologi Manusia

Universiti Putra Malaysia

 

The post Hutang negara menurun, ekonomi berkembang? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved