RS Megatech Raih Kemenangan Pertama Dalam Tahun Kedua Malaysian Cub Prix

27 Apr 2026 • 11:49 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: RS Megatech Raih Kemenangan Pertama Dalam Tahun Kedua Malaysian Cub Prix

Pasukan RS Megatech Racing Team mencipta kejutan apabila berjaya meraih kemenangan pertama mereka dalam saingan Malaysian Cub Prix menerusi pelumba Akid Shah pada perlumbaan yang berlangsung semalam.

Kemenangan ini cukup bermakna buat pasukan tersebut yang kini memasuki tahun kedua penyertaan dalam kejuaraan itu. Untuk rekod, musim lalu RS Megatech tidak pernah berada dalam kelompok podium malah sukar untuk bersaing dalam kelompok lima terbaik. Oleh itu, sasaran utama pasukan pada musim ini hanyalah untuk meraih podium pertama.

Namun, keputusan perlumbaan semalam melangkaui jangkaan apabila Akid berjaya menghadiahkan kemenangan sulung buat pasukan tersebut.

Menurut pengurus pasukan, beliau meluahkan rasa sangat gembira dengan pencapaian itu dan menganggapnya sebagai hasil kerja keras seluruh pasukan sejak awal musim. Tambah beliau lagi, sokongan daripada Honda Racing Malaysia pada tahun ini turut membantu meningkatkan prestasi pasukan.

Dalam masa sama, beliau turut mengakui sedikit terkilan apabila seorang lagi pelumba pasukan, Airel Marzuki yang berpotensi menamatkan perlumbaan di kedudukan satu dan dua bersama Akid, terlepas peluang podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Image from: RS Megatech Raih Kemenangan Pertama Dalam Tahun Kedua Malaysian Cub Prix

Selain itu, kehadiran Zaqhwan Zaidi dalam pasukan juga salah satu faktor yang membantu pelumba khususnya dalam penyusunan masa, jadual berlatih dan mental sedikit sebanyak memberi kelebihan buat pasukan RS Megatech.

Walaupun begitu, beliau tetap berpuas hati dengan keseluruhan keputusan pasukan yang disifatkan sebagai satu pencapaian membanggakan memandangkan usia pasukan itu sendiri masih sangat muda dalam saingan Malaysian Cub Prix.

The post RS Megatech Raih Kemenangan Pertama Dalam Tahun Kedua Malaysian Cub Prix appeared first on TW Media.