RTB Bukit Changgang: Hakisan tanah punca ban pecah, kerja tambakan sudah berminggu dilaksana

LocalEnvironment
25 Nov 2026 • 10:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

RTB Bukit Changgang: Hakisan tanah punca ban pecah, kerja tambakan sudah berminggu dilaksana

KUALA LANGAT, 25 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sudah menjalankan kerja menambak ban di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang sejak beberapa minggu lalu bagi mengatasi masalah hakisan tanah di bawah struktur berkenaan.

Ahli Majlis Zon 12 Kuala Langat, P. Umananthini berkata langkah itu diambil susulan kejadian ban pecah kira-kira lima bulan lalu, sebelum struktur berkenaan kembali pecah pada jam 7.30 pagi tadi.

“Walaupun kerja menambak tanah kali terakhir sudah dilakukan sekitar jam satu pagi tadi sehingga enam meter, ban tetap pecah akibat arus air yang kuat dan membanjiri kawasan sekitar,” katanya.

Menurutnya, masalah hakisan tanah di bawah struktur ban konkrit turut menyebabkan konkrit patah dan tenggelam sebanyak dua kali.

Umananthini berkata kejadian itu menyebabkan penduduk terjejas dipindahkan ke masjid di RTB Bukit Changgang sebelum ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang.

Katanya, JPS sedang berusaha membawa masuk lori untuk meletakkan batu bagi mengukuhkan bahagian ban yang pecah, namun arus deras menyukarkan pergerakan kenderaan berat ke lokasi.

Beliau berkata Skuad Pantas Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat serta pasukan bomba turut berada di lokasi bagi membantu operasi kecemasan.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata JPS menyasarkan kerja menutup rekahan ban berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Katanya, kerja pembaikan sedang dilaksanakan bagi menghalang air daripada terus memasuki kawasan kampung.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved