PONTIAN – Inisiatif Rumah Bangsa oleh UMNO perlu terbuka tanpa sebarang syarat atau halangan politik kepada semua pihak yang ingin menyumbang kepakaran dan pengalaman kepada parti.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Ir Hasni Mohammad menegaskan tujuan penubuhan Rumah Bangsa bagi menyatukan semua pihak dan bukan medan perdebatan politik, siapa layak atau sebaliknya.
"Mereka yang ingin memberikan sumbangan perlu tampil tanpa perlu menunggu pertimbangan politik, malah siapa sahaja termasuk bekas-bekas pemimpin boleh menyertai gagasan Rumah Bangsa.
“Kita nak duduk dalam satu bumbung, mengumpulkan kepakaran dan pengalaman, tiada soal nama siapa yang layak, yang penting ialah menyumbang sesuatu bagi kebaikan orang-orang melayu,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata demikian selepas penyampaian Bantuan Kasih Johor Fasa 3 dan Majlis Berbuka Puasa DUN Benut di Homestay Santai Parit Betak, disini, petang Rabu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, inisiatif Rumah Bangsa terbuka kepada semua tanpa mengenakan sebarang syarat termasuk dikalangan bekas-bekas pemimpin UMNO.
Tambah Ir. Hasni, Rumah Bangsa bukan milik mana-mana pihak tertentu dan tidak perlu menjadi medan atau tapak untuk menilai kesetiaan politik, masing-masing telah mempunyai kesedaran.
“Kita percaya mereka yang ingin menyertai Rumah Bangsa akan tampil bagi menawarkan diri termasuk dikalangan pemimpin yang digantung keahlian atau pun dipecat sebelum ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.
Beliau berkata, beberapa nama besar yang dipecat sebelum ini seperti bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
“Selain itu, beberapa pemimpin yang digantung selama enam tahun termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif,” ujar beliau.
