KOTA SAMARAHAN - Khidmat sarung gigi (veneer) haram hingga mencecah bayaran RM4,800 di sebuah kediaman dua tingkat di Jalan Stakan, di sini dibongkar pada Selasa lalu.
Operasi bermula jam 2 petang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Pergigian Bahagian Kesihatan Pergigian Sarawak dengan kerjasama Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Program Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak memaklumkan, seorang wanita tempatan berumur 33 tahun telah ditahan.
Menurutnya, wanita terbabit disyaki menawarkan perkhidmatan rawatan gigi iaitu dental veneer dengan mengiklankan perkhidmatan di laman sosial.
"Semasa operasi dilakukan, didapati suspek sedang memberi rawatan ke atas seorang pesakit di sebuah bilik di rumahnya yang diubah suai menjadi bilik rawatan.
"Pelbagai peralatan pergigian ditemui dan dirampas," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambah JKN Sarawak, risikan mendapati wanita terbabit disyaki aktif sejak setahun lalu.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan harga yang dicaj bagi set veneer 16 gigi sebanyak RM4,800.
"Suspek dipercayai beroperasi sendirian, tetapi disyaki ada rakan kongsi," ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 kerana menjalankan amalan pergigian tanpa berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia, manakala Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 iaitu menyediakan klinik pergigian pergigian tanpa berdaftar dengan KKM.


