Rumah, kenderaan jadi ‘port’ simpan rokok seludup RM698,328

LocalCars
7 Aug 2026 • 4:51 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rumah, kenderaan jadi ‘port’ simpan rokok seludup RM698,328

BATU PAHAT – Taktik licik sindiket penyeludupan menjadikan rumah kediaman dan kenderaan sebagai ‘port’ menyimpan serta mengedar rokok dan minuman keras tidak berkastam terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor melancarkan empat serbuan berasingan.

Operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Batu Pahat sepanjang Jun dan Julai lalu itu membawa kepada rampasan keseluruhan 261,390 batang rokok dan 895.67 liter minuman keras tidak berkastam.

Lebih mengejutkan, nilai keseluruhan sitaan termasuk duti dan cukai serta tiga buah kenderaan mencecah RM698,328.

Pengarah Kastam Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, serbuan pertama pada 11 Jun lalu, pasukan penguat kuasa menyerbu sebuah rumah di Taman Bahagia, di sini sebelum menemukan 22,560 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama serta 394.42 liter minuman keras tidak berkastam.

Jelasnya, sebuah Toyota Vellfire yang diletakkan di hadapan rumah turut disita, menjadikan keseluruhan nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM239,513.

“Serbuan pada 25 Jun pula dilakukan di sebuah rumah di Kampung Parit Kasim, Batu Pahat menemukan jumlah lebih besar iaitu 134,430 batang rokok dan 501.25 liter minuman keras.

“Rokok seludup dan arak itu dipercayai cuba disorok dengan menyimpannya di dalam sebuah bilik serta di bawah lantai rumah, sebelum pihak Kastam berjaya membongkar taktik tersebut,”katanya pada sidang akhbar di JKDM Batu Pahat di sini hari ini.

Aminul Izmeer berkata, pada 6 Julai pula, sebuah Proton X70 ditahan di Jalan Kim Kee, Muar selepas dikesan membawa 39,600 batang rokok tidak berkastam yang disorok di bahagian tempat duduk belakang dan ruang bonet kenderaan.

Jelasnya, serbuan terakhir pada 8 Julai di sebuah rumah di Bahau, Negeri Sembilan membawa kepada penemuan 64,800 batang rokok dalam sebuah Mercedes-Benz CLA 200 yang diparkir di hadapan kediaman tersebut.

Kesemua barang kes disita, manakala empat lelaki tempatan, masing-masing seorang bagi setiap kes, ditahan bagi membantu siasatan yang masih dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda bagi kesalahan pertama antara 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000, sehingga 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE

The post Rumah, kenderaan jadi ‘port’ simpan rokok seludup RM698,328 appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved