Rumah musnah, emas jadi penyelamat kewangan keluarga

LocalPersonal Finance
9 Apr 2025 • 5:25 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Ketika ramai mangsa insiden letupan gas di Putra Heights berdepan kerugian besar, seorang wanita menarik perhatian apabila simpanan emasnya masih utuh walaupun rumah hampir musnah.

Kisah wanita berkenaan telah dikongsikan oleh seorang peguam yang juga merupakan sukarelawan menerusi Facebook.

“Emasnya tak lebur, tak terbakar,” kata Syakinah Kamarudin.

Kongsinya lagi, pemilik emas berkenaan, Norsalawati berkata emas miliknya yang disimpan didalam sebuah kotak besi aluminium masih kekal utuh walaupun kotak itu terpelanting jauh akibat letupan tersebut.

Malah menurut beliau, penemuan itu memberi sedikit sinar buat kewangan keluarga yang agak terjejas selepas insiden tersebut. 

Dari sudut sains, emas memang terkenal dengan ketahanan luar biasa. Takat lebur emas 916 ialah 1,063°C dan emas 999 pula 1,064°C iaitu jauh lebih tinggi daripada suhu biasa kebakaran rumah. Jadi tak hairanlah apabila emas menjadi satu-satunya harta yang masih ‘bernyawa’ selepas letupan itu berlaku. 

Dikongsikan juga, terdapat individu yang terjejas yang telah membuat simpanan dalam bentuk wang kertas RM5, yang nilainya melebihi RM2,000, namun simpanan tersebut ‘hangus’ begitu sahaja.

Berbeza dengan wang kertas yang hangus, emas kekal bernilai walaupun rosak. Dalam situasi getir seperti ini, emas ibarat ‘cahaya di hujung terowong’ untuk meneruskan kehidupan.

Siapa sangka, di dalam keranapan rumah, kemusnahan harta benda, secebis logam ini menjadi nadi harapan buat Puan Norsalawati sekeluarga. Emas bukan sekadar simpanan tetapi aset besar yang melindungi ketika segalanya hilang.

Namun, dalam semangat memulakan simpanan emas, orang ramai diingatkan agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan tidak masuk akal. Nilai emas yang sebenar bukan terletak pada janji manis, tetapi pada ketulenannya dan keupayaannya bertahan dalam apa jua keadaan.