TUMPAT – Bermula dengan hanya enam peserta pada Ramadan 2016, Rumah Ngaji Darul Quran Pasir Pekan (RNDQPP) kini berkembang menjadi pusat pengajian al-Quran komuniti dengan keahlian seramai 129 orang.
Pengerusinya, Wan Maziyah Wan Salleh berkata, kebanyakan peserta terdiri daripada golongan dewasa dan warga emas yang mahu mendalami ilmu al-Quran secara berterusan.
Menurut beliau, ketika kelas pertama dijalankan di Madrasah As Saadah, Pasir Pekan Tengah, ada dalam kalangan peserta yang hanya mampu menghafaz ayat lazim tanpa mengenal huruf hijaiyah.
"Alhamdulillah, selepas beberapa tahun, sambutan semakin menggalakkan dan ramai mula menyertai kelas pengajian yang dijalankan secara percuma.
"Rumah Ngaji ini mula berdaftar secara rasmi dengan Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) pada 23 Disember 2024 sebelum dirasmikan oleh Pengerusinya, Datuk Adnan Hashim," katanya.
Wan Maziyah memberitahu, rumah pusaka milik keluarga turut dijadikan lokasi Kelas Talaqqi Mushafaqah serta pejabat operasi rumah ngaji berkenaan.
Ujarnya, sehingga kini seramai 92 Muslimat dewasa, lima Muslimin dewasa, 18 remaja, 12 kanak-kanak dan dua orang kurang upaya (OKU) berdaftar sebagai ahli.
"Pengajian dijalankan mengikut jadual tertentu di beberapa lokasi dengan bimbingan tenaga pengajar terlatih.
"Kelas ini digerakkan hasil sumbangan orang ramai dan individu yang prihatin terhadap usaha memperkasakan pendidikan al-Quran dalam komuniti," katanya.
Menurut beliau, RNDQPP bukan sahaja menumpukan kepada pembelajaran al-Quran, malah aktif melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk program khatam al-Quran, tadabbur alam, kebajikan dan penyertaan dalam program Malaysia #QuranHour.
Tambahnya, slogan "Baca, Faham, Amal" menjadi pegangan utama warga rumah ngaji tersebut dalam membentuk masyarakat yang lebih dekat dengan al-Quran.


