
Tenom: Rumah Panjang Murut dan Lansaran di Pekan Kemabong, di sini bakal menjadi hab kebudayaan dan ekonomi masyarakat setempat menerusi penyediaan ruang pemeliharaan warisan, kraftangan, pendidikan serta peluang pembangunan ekonomi.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Datuk Rubin Balang berkata projek berkenaan menerima peruntukan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) berjumlah RM9.8 juta termasuk tambahan RM2 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, projek berkenaan mengambil masa kira-kira lapan tahun untuk disiapkan sepenuhnya pada September 2026 sebelum diserahkan kepada Pejabat Daerah Kecil Kemabong untuk diuruskan.
Beliau berkata, penyerahan projek itu turut memastikan bangunan dan kerja-kerja yang dilaksanakan memenuhi aspek kualiti sebelum diserahkan kepada pihak daerah.
“Dalam tempoh 12 bulan, pihak kontraktor masih bertanggungjawab sekiranya terdapat kerja atau penggunaan bahan binaan yang tidak menepati kualiti dan spesifikasi ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Menyiapkan Rumah Panjang Murut dan Lansaran, Pekan Kemabong, di sini.
Rumah panjang dan lansaran berkenaan dibangunkan di kawasan hampir empat eka, dengan struktur sepanjang kira-kira 300 kaki dan lebar 70 kaki.
Ia dilengkapi galeri pameran yang mengetengahkan budaya, adat resam dan warisan masyarakat Murut, Dusun, Lundayeh, Cina dan Banjar di daerah Tenom, selain bilik kuliah, bilik rakaman serta bilik kraftangan.
Kemudahan berkenaan boleh dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan, dokumentasi warisan, pembangunan kemahiran serta aktiviti ekonomi masyarakat setempat.
Rumah panjang itu dijangka dibuka kepada orang awam pada 2027 selepas kerja-kerja akhir termasuk pembinaan beberapa tandas awam, pemasangan pagar dan penambahbaikan landskap disiapkan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin menyifatkan kewujudan Rumah Panjang Murut dan Lansaran sebagai satu inisiatif penting dalam memperkukuh pemeliharaan budaya dan warisan masyarakat di daerah berkenaan.
Katanya, galeri pameran yang disediakan akan mengetengahkan artifak peninggalan nenek moyang pelbagai suku kaum, selain menerangkan identiti dan sejarah di sebalik setiap artifak berkenaan.
“Pelajar dari luar Tenom yang ingin mempelajari dan mengenali identiti masyarakat di daerah ini, khususnya budaya Murut, juga dapat mengenali warisan tersebut dengan lebih dekat,” katanya.
Ketua Daerah Kemabong, Biou Suyan pula berkata masyarakat setempat sememangnya berbangga dan berterima kasih atas pewujudan kemudahan berkenaan yang dilihat mampu menghidupkan semula budaya masyarakat Murut.
Menurutnya, usaha memelihara budaya dan warisan berkenaan penting bagi memastikan khazanah yang semakin terhakis ditelan zaman dapat terus dipertahankan dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau yakin masyarakat Kemabong akan memanfaatkan bangunan berkenaan dengan sebaiknya seperti yang dirancang sekali gus memastikan Rumah Panjang Murut dan Lansaran terus menjadi pusat aktiviti budaya serta kemasyarakatan di kawasan itu.
