KLANG, 2 FEB: Rumah terbuka anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang di sini hari ini mengeratkan lagi perpaduan antara pemimpin dan rakyat berbilang bangsa.
Wakil rakyatnya Dr Quah Perng Fei berkata majlis itu memberi peluang kepada masyarakat bertemu dengan pemimpin mereka sekali gus mengemukakan aduan setempat.
“Rumah terbuka ini menghimpun beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN), ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang dan pasukan pejabat DUN Bandar Baru Klang.
“Selain menikmati pelbagai juadah makanan istimewa mereka juga boleh berinteraksi jika ada sebarang cadangan ingin dilontarkan kepada semua pemimpin yang hadir,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan tersebut.

Hadir sama EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim, ADN Bukit Gasing R Rajiv, ADN Kota Kemuning S Preakas dan Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain.
Lebih 2,000 pengunjung pelbagai kaum hadir memeriahkan sambutan perayaan itu yang turut dihiburkan dengan persembahan tarian singa dan muzik orkestra Cina.
Pengunjung disajikan dengan lebih 20 hidangan tempatan seperti Yee Sang, nyonya kuih, rojak, cendol, popia, asam laksa, teh herba, kuey teow goreng dan mee kari.
The post Rumah terbuka DUN Bandar Baru Klang rapatkan pemimpin, rakyat appeared first on Selangorkini.



