
BACHOK – Taktik satu sindiket yang menjadikan sebuah rumah tinggal di Kampung Pauh Sembilan di sini yang jauh dari kawasan sempadan sebagai lokasi untuk memunggah 10,200 kilogram (kg) minyak masak peket sebelum dibawa ke Thailand terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu kediaman tersebut hari ini.
Serbuan dijalankan menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu) di rumah itu kira-kira pukul 6.30 pagi tadi selepas pegawai penguat kuasa KPDN menjalankan risikan di kawasan berkenaan sejak tiga hari lalu.
Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, empat lelaki dilihat sedang memunggah kotak-kotak berisi minyak masak peket ketika serbuan dijalankan sebelum tiga daripada suspek melarikan diri ke kawasan semak.
Katanya, pemandu sebuah lori kargo berusia 49 tahun yang membawa kesemua minyak masak itu tidak sempat melarikan diri sebelum ditahan anggota KPDN.
“Siasatan mendapati, suspek membawa lori yang berisi 600 kotak minyak masak peket bernilai RM25,000 dari Lembah Klang ke rumah tersebut. Suspek dipercayai menerima upah sebanyak RM300 untuk membawa kesemua minyak masak itu ke Kelantan.
“Minyak masak itu dibawa ke rumah tersebut sebelum barangan berkenaan dipunggah ke dalam dua buah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero dan sebuah kereta jenis Proton Waja,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan di Kampung Pauh Sembilan di sini hari ini.
Hanif Yusabra memberitahu, siasatan lanjut mendapati, sindiket penyeludupan menjadikan rumah tinggal itu sebagai lokasi transit sebelum kesemua minyak masak peket tersebut dibawa sejauh lebih 50 kilometer ke kawasan pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.
Menurutnya, sindiket penyeludupan dipercayai menjadikan kawasan yang jauh dari sempadan sebagai lokasi transit untuk memunggah minyak masak peket bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Rumah tersebut dipercayai baru kali pertama dijadikan sebagai lokasi transit untuk memunggah kesemua minyak masak sebelum diseludup ke Thailand.
“Siasatan lanjut mendapati, harga pasaran satu kotak berisi 17 peket minyak masak bersubsidi dijual pada harga RM42.50. Harga tersebut meningkat kepada RM75 sekotak apabila ia sampai di kawasan sempadan sebelum dijual RM90 sekotak bagi pasaran Thailand,” ujarnya.
Tambahnya, suspek bersama kesemua barangan rampasan termasuk empat buah kenderaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam perkembangan sama, Hanif Yusabra berkata, KPDN Kelantan merekodkan sebanyak 104 kes melibatkan 72,800 kg minyak masak peket dengan keseluruhan nilai rampasan lebih RM178,000 bagi tempoh tujuh bulan sepanjang tahun ini. – KOSMO! ONLINE
The post Rumah tinggal jadi transit punggah 10.2 tan minyak masak peket ke Siam appeared first on Kosmo Digital.





