Rundingan AS–Iran: Bukan sekadar pertemuan diplomatik biasa

WorldPolitics
20 Apr 2026 • 7:39 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rundingan AS–Iran: Bukan sekadar pertemuan diplomatik biasa
KEberangkatan Naib Presiden AS ke Pakistan bagi membincangkan soal Iran sebenarnya bukan sekadar pertemuan diplomatik biasa.

KEBERANGKATAN Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance pada Isnin ke Islamabad, Pakistan bagi membincangkan soal Iran sebenarnya bukan sekadar pertemuan diplomatik biasa.

Ia sebaliknya sebahagian daripada usaha besar meredakan konflik antara AS-Israel dan Iran yang semakin memuncak sejak 28 Februari lalu.

Presiden AS, Donald Trump berkata kepada media antarabangsa, mesyuarat dijadualkan pada Selasa di Islamabad dan mungkin berlanjutan hingga Rabu.

Berdasarkan perkembangan semasa, rundingan tersebut dijangka berlegar pada beberapa isu teras yang kritikal terhadap kestabilan geopolitik serantau dan global.

Antaranya fokus kepada topik program nuklear Iran, isu keselamatan maritim khususnya di Selat Hormuz dan aspek gencatan senjata serta pengurangan konflik ketenteraan.

Rundingan terdahulu pernah diketuai Vance, namun gagal mencapai persetujuan walaupun berlangsung selama 21 jam.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak mengakui wujud sedikit kemajuan dari segi komunikasi.

Ini menunjukkan masih ada ruang diplomasi, walaupun rapuh.

Dari segi kebarangkalian dapatan, hasil rundingan dalam jangka pendek dilihat sederhana hingga rendah untuk mencapai perjanjian menyeluruh.

Ini kerana kedua-dua pihak masih berpegang kepada 'red line' masing-masing.

Namun, tidak mustahil kebarangkalian untuk mencapai persetujuan interim seperti lanjutan gencatan senjata atau pembukaan sebahagian laluan perdagangan adalah lebih tinggi.

Kesimpulannya, rundingan tersebut lebih realistik dilihat sebagai usaha membina kepercayaan berbanding penyelesaian muktamad.

Jika berjaya mengurangkan ketegangan walaupun sedikit, ia sudah dianggap kemenangan diplomatik awal.

Cuma tanpa kompromi besar daripada kedua-dua pihak, jalan ke arah perjanjian penuh masih panjang dan berliku-liku.