
KUALA LUMPUR: Rundingan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tindakan perdagangan berkaitan kemasukan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa sudah selesai.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, rundingan antara kedua-dua negara kini tertumpu kepada isu lebihan kapasiti.
Menurut beliau, AS hampir memuktamadkan siasatan mengenai lebihan kapasiti melibatkan Malaysia dan hasilnya dijangka diumumkan dalam tempoh tiga hingga empat minggu.
“Mereka hampir memuktamadkan siasatan mengenai lebihan kapasiti. Saya fikir isu buruh paksa telah selesai.
“Mengenai lebihan kapasiti, inilah perkara yang perlu kita rundingkan. Saya akan terus menjelaskan kepada mereka bahawa kita tidak mempunyai lebihan kapasiti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Bersama Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (JAMECA) Ke-43 di sini, semalam.
Sebelum ini dilaporkan, Malaysia merupakan antara 60 rakan dagang yang dikenakan tarif antara 10 hingga 12.5 peratus oleh AS susulan kegagalan negara terlibat melaksanakan dan menguatkuasakan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) dalam kenyataan memaklumkan, Malaysia dikenakan tarif sebanyak 10 peratus di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974.
Sementara itu, Johari berkata, kebimbangan Malaysia adalah terhadap takrifan lebihan kapasiti oleh AS yang turut mengambil kira kapasiti dari negara ketiga.
“Apa sahaja lebihan kapasiti, takrifan mereka turut merangkumi negara ketiga. Itulah perkara yang perlu kita tangani. Perkara ini masih dalam proses,” katanya.
Menurut beliau, AS memaklumkan proses itu akan mengambil masa kira-kira tiga hingga empat minggu sebelum melalui semakan dan kelulusan undang-undang untuk diumumkan secara rasmi.
“Buat masa ini, kita kekal dengan keadaan semasa,” katanya.
Johari berkata, Malaysia sudah mengadakan banyak rundingan dengan AS bagi menjelaskan kedudukan negara berhubung isu tersebut.
“Bayangkan, kita dikenakan kadar 10 peratus dan kita telah banyak mengadakan rundingan.
“Kita berunding dengan AS dan menjelaskan kepada mereka bahawa kita tidak mempunyai lebihan kapasiti,” katanya. – UTUSAN
The post Rundingan isu buruh paksa Malaysia-AS selesai appeared first on Utusan Malaysia.






