Rundingan sulit PAS gagal, BN Johor jadi ‘caca marba’ kerana ego pemimpin: Puad

LocalPolitics
29 Jun 2026 • 4:09 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Rundingan sulit PAS gagal, BN Johor jadi ‘caca marba’ kerana ego pemimpin: Puad

KUALA LUMPUR – Sikap terlalu yakin dan ego segelintir pemimpin Umno yang percaya Barisan Nasional (BN) mampu menang besar di Johor tanpa pengaruh "Bossku" akhirnya memakan diri apabila rundingan politik secara sulit bersama PAS disahkan menemui jalan buntu.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mendedahkan, kegagalan itu bukan sahaja meranapkan pelan awal kerjasama, malah kini mengheret landskap politik BN ke kancah yang disifatkannya sebagai "caca marba".

Menurut beliau, sebelum ini wujud gerakan senyap daripada pemimpin tertentu untuk berunding dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya, khususnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, dengan bersandarkan syarat awal bahawa PAS tidak akan meletakkan calon di Johor.

“Beberapa pemimpin Umno percaya Umno akan menang besar di Johor. Ada juga yang berpandangan kalau Bossku masih di dalam semasa PRN Johor tidak mengapa. Kerjasama Umno-PAS ini lebih besar impaknya walaupun Bossku tidak dapat membantu kempen.

“Itu punca ada pemimpin Umno menjadi terlalu ego dan over confident,” bidasnya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Amaran MKT diabaikan

Puad yang baru saja meninggalkan Umno menjelaskan, beliau bersama beberapa pimpinan lain sebelum ini telah pun menyuarakan kegusaran mengenai implikasi perundingan tersebut ketika ia dibangkitkan dalam mesyuarat MKT pada 10 Jun lalu.

Beliau menegaskan bahawa sebarang bentuk kerjasama politik dengan PAS sepatutnya hanya berpaksikan kepada strategi kemenangan pilihan raya, bukannya agenda lain yang tidak realistik.

“Saya dan beberapa yang lain mengingatkan bahaya berunding dengan PAS. Perundingan boleh diteruskan jika tujuannya untuk menang PRN atau PRU.

“Tetapi kalau kerjasama itu bertujuan penyatuan ummah ia tidak akan berjaya. Lagi baik fokus kepada Musyawarah Nasional dipengerusikan oleh Tan Sri Ghani Othman,” katanya lagi.

Calon 'mediocre' burukkan keadaan

Mengulas lanjut, Puad berkata keadaan menjadi semakin parah apabila BN membariskan calon-calon yang tidak menepati selera pengundi semasa serta mengetepikan suara golongan muda.

Strategi pemilihan calon itu dilihat sebagai satu lagi kesilapan taktikal yang melemahkan kedudukan parti di kubu kuat mereka.

“Malangnya kerjasama PAS-Umno gagal. Politik BN jadi caca marba. Ia diburukkan lagi dengan dengan barisan calon BN yang anti aspirasi orang muda, kitar semula dan mediocre,” katanya. - 29 Jun, 2026

The post Rundingan sulit PAS gagal, BN Johor jadi ‘caca marba’ kerana ego pemimpin: Puad appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved