Laporan: China Mungkin Salur Bantuan Kewangan Dan Komponen Peluru Berpandu Kepada Iran

WorldPolitics
8 Mar 2026 • 3:02 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

ANKARA – China dilaporkan sedang menimbang kemungkinan menyalurkan bantuan kewangan serta komponen berkaitan peluru berpandu kepada Iran ketika konflik negara itu dengan Amerika Syarikat semakin memuncak.

Menurut laporan CNN, yang memetik tiga sumber mengetahui perkara itu, Beijing setakat ini masih mengelak daripada terlibat secara langsung dalam konflik berkenaan.

Namun begitu, pegawai Amerika Syarikat dilaporkan sedang memantau sebarang petunjuk yang menunjukkan kemungkinan perubahan pendirian China terhadap Iran.

China sebelum ini merupakan antara pembeli terbesar minyak mentah Iran. Beijing juga dilaporkan pernah menggesa Tehran memastikan laluan perkapalan komersial melalui Selat Hormuz kekal selamat bagi mengelakkan gangguan terhadap bekalan tenaga.

Sumber risikan yang dipetik CNN berkata, China mengambil pendekatan berhati-hati dalam isu itu kerana konflik berkenaan berpotensi menjejaskan keselamatan tenaga negara tersebut.

Dalam perkembangan sama, Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) enggan mengulas mengenai maklumat risikan tersebut.

Rusia didakwa kongsi maklumat risikan

Laporan sama turut mendakwa Rusia telah berkongsi imej satelit serta maklumat risikan sasaran dengan Iran.

Maklumat itu termasuk data mengenai kedudukan serta pergerakan pasukan tentera Amerika Syarikat di rantau Asia Barat.

Minggu lalu, enam anggota tentera Amerika Syarikat dilaporkan terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam serangan dron Iran di Kuwait.

Sejak konflik memuncak, Iran dilaporkan melancarkan ribuan dron serangan serta ratusan peluru berpandu ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat, kedutaan dan beberapa sasaran lain.

Pada masa sama, serangan balas Amerika Syarikat dan Israel dilaporkan menghentam lebih 2,000 lokasi di Iran.

Ketegangan serantau meningkat mendadak sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas Iran pada Sabtu lalu.

Serangan itu dilaporkan mengorbankan lebih 1,000 mangsa termasuk Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, lebih 150 pelajar perempuan serta beberapa pegawai kanan tentera.

Iran kemudian membalas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan pangkalan tentera Amerika Syarikat, kemudahan diplomatik serta beberapa bandar di Israel.

Serangan balas antara pihak terlibat dilaporkan masih berterusan ketika ini. – The Malaysian Update

The post Laporan: China Mungkin Salur Bantuan Kewangan Dan Komponen Peluru Berpandu Kepada Iran appeared first on The Malaysian Update.