
KUALA PENYU: Sebarang peruntukan pembangunan di bawah Bajet 2024 khususnya untuk Sabah diharap dapat disalurkan lebih awal iaitu pada awal bulan Februari tahun depan berbanding Julai, sepertimana sebelum ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, ia perlu bagi memastikan segala usaha dan perancangan pembangunan untuk rakyat serta wilayah ini berjalan lancar.
Katanya, sebaiknya peruntukan berkenaan disalurkan sebelum pemberian peruntukan oleh Kerajaan Negeri pada bulan Mac setiap tahun.
“Kita berharap peruntukan di bawah bajet ini dapat disalurkan lebih awal kerana kebiasaanya ia disalurkan kepada Kerajaan Negeri pada pertengahan tahun atau selepas bulan Julai yang sudah tentu merencatkan pembangunan dirancang.
SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more “Ia terlalu lambat kerana hanya berbaki empat ke lima bulan saja untuk kita realisasikan segala perancangan sebelum akhir tahun yang sudah tentu tidak sempat dilaksanakan semuanya.
“Sebaiknya apabila sudah diluluskan di parlimen, segera salurkan. Kalau boleh awal Februari tahun depan supaya pelaksanaan pembangunan Sabah dan rakyat dapat direalisasikan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kuala Penyu di Dewan Datuk Syahbandar Makang, di sini, pada Khamis.
Ruslan ditanya mengenai harapan beliau terhadap Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada jam 4 petang, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ruslan yang juga wakil rakyat Lumadan turut berharap peruntukan lebih besar dalam belanjawan kali ini untuk pembangunan pendidikan islam di negara ini khususnya dalam konteks Sabah.
Beliau berkata, terdapat banyak sekolah-sekolah agama yang perlu dinaik taraf atau dibaik pulih serta bina baharu di wilayah ini ekoran permintaan tinggi di kalangan masyarakat terhadap pendidikan Islam.
“Pada masa sama, terdapat juga keperluan untuk naik taraf, baik pulih atau bina baharu masjid dan surau di banyak tempat di Sabah hingga memerlukan peruntukan lebih besar pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, bidang pertanian juga tidak harus dilupakan pada belanjawan kali ini susulan kenaikan harga beras yang berlaku, baru-baru ini hingga memerlukan tindakan signifikan kerajaan.
Katanya, antara tindakan yang wajar adalah dengan mengusahakan semula tanaman padi secara meluas kerana negara ini khususnya Sabah dan Sarawak yang masih mempunyai sawah padi terbiar yang luas.
“Kita berharap belanjawan kali ini mempunyai perancangan proaktif dan peruntukan yang cukup untuk pembangunan sektor pertanian khususnya sawah padi susulan isu kenaikan harga beras, baru-baru ini.
“Keluasan sawah padi terbiar di Sabah saja masih luas dan sewajarnya dibangunkan semula bagi memenuhi bekalan beras kita, sekaligus mampu mengatasi sebarang masalah berkaitan selepas ini.
“Isu kenaikan harga beras tidak timbul sekiranya kita manfaatkan sebaik mungkin kawasan tanah sawah kita yang masih luas ini melalui perancangan proaktif agensi berkaitan,” tegasnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


